Friday 10 October 2008

Zahid ubah fikiran, tanding Naib Presiden

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menjadi orang pertama mengumumkan pendirian, menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan UMNO Mac depan. Sebelum ini, menurut rakan-rakan UMNO beliau antara calon yang dlihat layak untuk merebut jawatan kedua tertinggi dalam parti UMNO.

Bagaimanapun, menurut sumber, Dr Ahmad Zahid telah mengubah fikiran untuk hanya bertanding jawatan Naib Presiden UMNO Mac depan. Dalam satu kenyataan ringkas hari ini, beliau berkata, keputusan itu dibuat demi menjaga perpaduan ahli peringkat akar umbi dan kekukuhan parti serta menghormati Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, yang bakal menerajui UMNO."Saya memohon sokongan dan pencalonan daripada akar umbi dalam persidangan UMNO Bahagian-bahagian untuk jawatan berkenaan (Naib Presiden) sahaja. "Saya juga ingin menyatakan sokongan dan taat setia tidak berbelah bagi saya kepada Datuk Seri Najib, yang telah diberikan kepercayaan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengambil alih teraju kepimpinan parti sebagaimana yang telah diputuskan," katanya. Ahmad Zahid, yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memahami situasi dan realiti politik semasa, yang memerlukan pengorbanan daripada seseorang demi perpaduan dan kekuatan parti.

(Gagento : Ada yang melihat perebutan jawatan tertinggi dalam parti sebagai medan meraih populariti)

Malaysia kini, Oct 9, 08 5:40pm

No comments: