Saturday 13 December 2008

Artikel 153 & Ketuanan Melayu

Salam pada semua pembaca GAGENTO ;

Blog ini menerima email daripada seorang pembaca supaya artikel mengenai Ketuanan Melayu dituliskan di dalam blog ini supaya orang ramai faham mengenai perkara di atas. Samada pribumi atau mereka yang asalnya bukan dari 'sini'. Ini disebabkan menurut beliau, rata-rata generasi muda melayu tidak faham mengapa ketuanan Melayu yang harus dipertahankan. Penulis membuat sedikit carian dan kajian mengenai Ketuanan Melayu dan mendapati bahawa bukan isu mengenai Ketuanan Melayu harus dipostkan tetapi juga mengenai Artikel 153 dan kontrak sosial Malaysia harus dipostkan kerana ia saling memberi kaitan antara satu sama lain. Sumber rujukan dari wikipedia, lawnet dan perbincangan Konvensyen PEKIDA Malaysia di Hotel Pontian, Johor hari ini, 13 Disember 2008.

Memetik kata Y.Bhg Dato' Wira Othman Abdul, Ketua Penerangan PEKIDA Malaysia, beliau berkata orang-orang Melayu perlu disemarakkan semangat bagaimana membentuk generasi muda akan datang dan tidak ditindas pada masa hadapan. Prinsip "AKU TIDAK ADA MASA" dan "SENTIASA BERUSAHA MENAMBAH ILMU PENGETAHUAN". Beliau merujuk kepada hadis rasullullah "Menuntut ilmu bermula dari buaian hingga liang lahad".


Artikel 153 Perlembagaan Malaysia


Artikel 153 Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga hak keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada sosial kontrak, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu — kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.
Berikut adalah penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia.


Perkara 153. Perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit, dsb. bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.


(1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.


(2) Walau apa pun apa-aa jua dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalnakan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk meindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.


(3) Yang di-Pertuan Agong boleh, bagi memastikan, mengikut Fasal (2), perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak jawatan-jawatan dalam perkhidmatan awam dan biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain, memberikan apa-apa arahan am yang dikehendaki bagi maksud itu kepada mana-mana Suruhanjaya yang baginya Bahagian X terpakai atau kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi pemberian biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain itu; dan Suruhanjaya atau pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


(4) Pada menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut Fasal (1) hingga (3) Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melucutkan mana-mana orang daripada apa-apa jawatan awam yang dipegang olehnya atau daripada terus mendapat biasiswa, danasiswa atau keistimewaan pendidikan atau latihan atau kemudahan khas lain yang dinikmati olehnya.


(5) Perkara ini tidaklah mengurangkan peruntukan Perkara 136.


(6) Jika menurut undang-undang persekutuan yang sedia ada suatu permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka Yang di-Pertuan Agong boleh menjalankan fungsinya di bawah undang-undang itu mengikut apa-apa cara, atau memberikan apa-apa arahan am kepada mana-mana pihak berkuasa yang dipertanggungkan di bawah undang-undang itu dengan pemberian permit atau lesen itu, sebagaimana yang dikehendaki untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklaah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


(7) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh berkuat kuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu atau untuk memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-mana orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak seseorang jika pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.


Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika menurut mana-mana undang-undang persekutuan apa-apa permit atau lesen dikehendaki bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka undang-undang itu boleh membuat peruntukan bagi perizaban apa-apa perkadaran daripada permit atau lesen itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak; tetapi tiada undang-undang sedemikian boleh, bagi maksud memastikan perizaban itu—


(a) melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan apa-apa hak, keistimewaan, permit atau lesen mana-mana orang, yang terakru kepada orang itu atau yang dinikmati atau dipegang oleh orang itu; atau


(b) memberi kuasa untuk menolak pembaharuan mana-mana permit atau lesen mana-manaa orang atau untuk menolak pemberian apa-apa permit atau lesen kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang jika pembaharuan atau pemberian itu mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan, atau menghalang mana-mana orang daripada memindahkan hakmilik bersama dengan perniagaannya apa-apa lesen yang boleh dipindahkan hakmiliknya untuk mengendalikan perniagaan itu; atau


(c) jika tiada permit atau lesen dahuluya dikehendaki bagi mengendalikan pertukangan atau perniagaan itu, memberi kuasa untuk menolak pemberian permit atau lesen kepada mana-mana orang bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan yang telah dijalankan olehnya secara bona fide sebaik sebelum undang-undang itu mula berkuat kuasa, atau memberi kuasa untuk menolak pembaharuan kemudiannya mana-mana permit atau lesen mana-mana orang, atau untuk menolak pemberian mana-mana permit atau lesen sedemikian kepada waris, pengganti atau penerima serah hak mana-mana orang itu jika, mengikut peruntukan yang lain dalam undang-undang itu, pembaharuan atau pemberian itu mungkin semunasabahnya dijangkakan mengikut perjalanan biasa keadaan.


(8A) Walau apa pun apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, jika di dalam mana-mana Universiti, Kolej dan institusi pendidikan lain yang memberikan pendidikan selepas Malaysian Certificate of Education atau yang setaraf dengannya, bilangan tempat yang ditawarkan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengurusan Universiti, Kolej atau institusi pendidikan itu kepada calon-calon bagi apa-apa kursus pengajian adalah kurang daripada bilangan calon yang layak mendapat tempat-tempat itu, maka adalah sah bagi Yang di-Pertuan Agong menurut kuasa Perkara ini memberikan apa-apa arahan yang perlu kepada pihak berkuasa itu untuk memastikan perizaban apa-apa perkadaran daripada tempat-tempat itu bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong; dan pihak berkuasa itu hendaklah mematuhi arahan itu dengan sewajarnya.


(9) Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak.


(9A) Dalam Perkara ini ungkapan “anak negeri” berhubung dengan Negeri Sabah atau Sarawak hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Perkara 161A.


(10) Perlembagaan Negeri yang ber-Raja boleh membuat peruntukan yang bersamaan (dengan ubah suaian yang perlu) dengan peruntukan Perkara ini.


Terdapat perbezaan ketara di antara artikel 153 perlembagaan Malaysia dengan artikel 153 perlembagaan Singapura yang masing-masing menyebut mengenai hak istimewa orang Melayu. Artikel 153 (Malaysia) lebih spesifik dengan menjelaskan bagaimana hak-hak orang Melayu dan Bumiputra Malaysia dipertahankan.


Ketuanan Melayu


Ketuanan Melayu ialah konsep perkauman yang mendakwa bahawa orang Melayu adalah tuan kepada Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia . Orang Cina dan India di Malaysia yang dianggap sebagai pendatang (yang dibawa masuk oleh British) disifatkan terhutang budi kepada orang Melayu kerana kesanggupan dan kesediaan orang Melayu menerima mereka sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia sebagai prasyarat British memberikan kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu. Sebagai timbal balik kerana kesanggupan dan kesediaan apa yang disifatkan sebagai pengorbanan orang Melayu itu, perlembagaan memberi peruntukan khas kepada orang Melayu dalam bentuk hak istimewa dan ini dimaktubkan di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang) Malaysia).



Persetujuan quid pro quo atau saling beri-memberi ini biasanya dipanggil Kontrak Sosial. Konsep Ketuanan Melayu ini sering kali dijadikan retorik ahli politik Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang berpengaruh semenjak 50 tahun Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) mencapai kemerdekaannya dari British sebagai usaha meraih sokongan orang Melayu walaupun pada hakikatnya tidak ramai orang Melayu yang arif tentang konsep atau fahaman ini.
Walaupun retorik ini wujud sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, frasa ketuanan Melayu tidak menjadi satu perkara yang disebut ramai hingga ke awal tahun 2000-an. Kebanyakan tentangan konsep ini adalah daripada parti-parti yang tidak berdasarkan kaum Melayu, seperti Parti Tindakan Demokratik (DAP), tetapi sebelum kemerdekaan orang Baba dan Nyonya juga menentang konsep ini. Konsep keulungan kaum Melayu mendapat perhatian dalam tahun 1940-an apabila orang Melayu bersatu untuk menentang penubuhan Malayan Union dan kemudian, berjuang untuk kemerdekaan. Semasa tahun 60-an, terdapat usaha yang cukup besar untuk mencabar ketuanan Melayu, diketuai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari Singapura — yang merupakan negeri Malaysia dari 1963 hingga 1965 — dan DAP selepas pemisahan Singapura. Walaupun begitu, sebahagian Perlembagaan berkaitan ketuanan Melayu berakar umbi selepas rusuhan kaum Mei 13, 1969 yang terjadi akibat kempen pilihan raya yang menjadikan hak-hak orang bukan Melayu dan ketuanan Melayu sebagai isu tumpuan. Tempoh ini juga menyaksikan kebangkitan ultra yang mendesak agar kerajaan parti tunggal diketuai UMNO, dan pertambahan penekanan bahawa orang Melayu merupakan “orang asal” Malaysia — iaitu hanya orang Melayu boleh dianggap penduduk asal Malaysia.
Tentangan yang dimainkan oleh DAP ini sebenarnya merupakan lanjutan tentangan yang dimainkan oleh parti induk DAP iaitu parti PAP(Singapura).
Berikut adalah tentangan mengenai ketuanan Melayu di dalam fasal 153 Perlembagaan Malaysia oleh PAP.


Ahli politik Singapura, Lee Kuan Yew (kemudian menjadi Perdana Menteri Singapura) Parti Tindakan Rakyat (PAP; cawangannya di Malaysia kemudiannya menjadi Parti Tindakan Demokratik atau DAP) secara umumnya mempersoalkan keperluan Artikel 153 dalam Parliamen, dan menyeru satu “Malaysian Malaysia”. Mempersoalkan kontrak sosial , Lee telah menyatakan: “Merujuk kepada sejarah, orang Melayu telah mula untuk berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang banyak hanya kira-kira 700 tahun yang lalu. Dalam 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira sepertiga secara perbandingan hanya imigran seperti setiausaha agung UMNO, Dato’ Syed Ja’afar Albar, yang datang ke Malaya dari Indonesia sebelum perang ketika berumur lebih tiga puluh tahun.


Kontrak Sosial


Kontrak sosial di Malaysia merujuk kepada perjanjian oleh bapa-bapa kemerdekaan negara dalam Perlembagaan, dan merupakan penggantian beri-memberi atau quid pro quo melalui Perkara 14–18 yang berkenaan dengan pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada orang-orang bukan Melayu, dan Perkara 153 yang memberikan hak istimewa rakyat kepada mereka daripada kaum bumiputera. Istilah ini juga kekadang digunakan untuk merujuk kepada bahagian-bahagian yang lain dalam Perlembagaan, seperti Perkara yang mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.


Dalam konteks biasa yang berkaitan dengan hubungan ras, kontrak sosial telah kerap kali dibidaskan, termasuk juga oleh ahli-ahli politik dalam kerajaan campuran Barisan Nasional yang menegaskan bahawa tidak habis-habis bercakap tentang hutang orang-orang bukan Melayu kepada orang-orang Melayu terhadap kewarganegaraan yang diberikan telah merenggangkan golongan-golongan bukan Melayu daripada negara mereka. Kritikan-kritikan seumpama ini telah ditentang oleh media Melayu dan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti politik yang terbesar dalam Barisan Nasional. Banyak orang Melayu, biasanya daripada UMNO, telah mempergunakan kontrak sosial ini untuk mempertahankan prinsip Ketuanan Melayu.
Kontrak sosial selama ini telah lama diamalkan oleh para pemimpin terutamanya pemimpin dari parti kompenen Barisan Nasional. Tidak terdapat syarat-syarat formal mengenai kontrak sosial ini. Di bawah sedikit petikan mengenai kontrak sosial.


Perlembagaan Malaysia tidak merujuk kepada sebuah “kontrak sosial” (dari segi hak kewarganegaraan dan hak istimewa) secara ketara, dan tidak terdapat sebarang undang-undang atau dokumen yang pernah menjelaskan syarat-syarat kontrak sosial secara penuh. Pembela-pembelanya sering merujuk kepada Perlembagaan sebagai mengemukakan kontrak sosial, dan bapa-bapa kemerdekaaan juga bersetuju dengannya, walaupun rujukan kepada kontrak sosial tidak dibuat dalam Perlembagaan. Sebaliknya, kontrak sosial biasanya dianggap sebagai suatu persetujuan yang memberikan kewarganegaraan kepada orang-orang bukan Melayu dan bukan orang asli (kebanyakannya orang Malaysia Cina dan Malaysia India) sebagai ganti untuk pemberian hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu dan orang-orang asli (dirujuk secara kolektif sebagai Bumiputera). Sebuah buku teks kajian Malaysia pendidikan tinggi yang menepati sukatan pelajaran kerajaan mengatakan:



“Oleh sebab pemimpin-pemimpin Melayu bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat kewarganegaraan, pemimpin-pemimpin komuniti Cina dan India telah menerima kedudukan istimewa Melayu sebagai penduduk asli Malaya. Dengan penubuhan Malaysia, status kedudukan istimewa itu diperluas untuk merangkumi komuniti-komuniti penduduk asli Sabah dan Sarawak.” [1]


Perlembagaan secara ketara memberikan tanah rizab Bumiputera, kuota dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, kuota untuk lesen perniagaan, dan kebenaran untuk memonopoli industri-industri yang tertentu, jika kerajaan membenarkan. Bagaimanapun pada hakikatnya, khususunya selepas pengenalan Dasar Ekonomi Baru Malaysia (NEP), akibat rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 ketika kaum Melayu hanya memiliki 4% daripada ekonomi Malaysia, hak-hak istimewa Bumiputera diperluas kepada bidang-bidang yang lain; kuota-kuota ditentukan untuk ekuiti Bumiputera dalam perbadanan awam, dan diskaun-diskaun sebanyak 5% hingga 15% untuk membeli kereta dan harta tanah diberikan.


Setengah-setengah orang mengatakan bahawa kecondongan terhadap orang-orang Melayu dalam pendidikan dan politik sebahagiannya merupakan tindak balas terhadap keupayaan orang-orang Malaysia Cina untuk memperoleh kebanyakan kekayaan negara itu. Bagaimanapaun, orang-orang Malaysia India boleh mengemukakan hujah bahawa merekalah yang mengalami kerugian yang paling banyak, walaupun ini boleh dipertikaikan.
Kerajaan ada mengundurkan sistem kuota untuk kemasukan ke universiti-universiti awam pada 2003 dan memperkenalkan dasar “meritokrasi”. Bagaimanapun, sistem baru ini dikritik secara meluas oleh orang-orang bukan Bumiputera kerana hanya memanfaatkan kaum Bumiputera yang ditempatkan dalam rancangan matrikulasi yang menonjolkan kerja kursus yang agak mudah sedangkan orang-orang bukan Bumiputera terpaksa mengambil Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Walaupun secara teori, orang-orang bukan Bumiputra boleh masuk aliran matrikulasi, ini jarang berlaku pada hakikatnya. Meritokrasi juga dikritik oleh sebilangan pihak dalam UMNO sebagai berdiskriminasi kerana ia mengakibatkan orang-orang Melayu luar bandar terkebelakang dalam kadar kemasukan universiti.


Suruhanjaya Reid yang menyediakan kerangka Perlembagaan menyatakan dalam laporannya bahawa Perkara 153, tulang belakang kontrak sosial, adalah bersifat sementara, dan menyesyorkan bahawa ia dikaji semula 15 tahun selepas kemerdekaan. Suruhanjaya juga menyatakan bahawa perkara itu dan peruntukan-peruntukannya hanya diperlukan untuk mengelakkan keadaan tiba-tiba yang tidak menguntungkan kepada orang-orang Melayu dalam persaingan dengan ahli-ahli masyarakat Malaysia yang lain, dan hak-hak istimewa yang diberikan kepada orang-orang Melayu oleh perkara itu harus dikurangkan secara beransur-ansur dan akhirnya dihapuskan. Bagaimanapun, disebabkan Peristiwa 13 Mei yang menyebabkan pengisytiharan darurat, tahun 1972 yang merupakan tahun kajian semula Perkara 153 berlangsung tanpa sebarang peristiwa.


Menurut penyokong-penyokong kontrak sosial, sebagai balasan untuk enakmen peruntukan-peruntukan yang pada asalnya bersifat sementara, orang-orang Malaysia bukan Melayu diberikan kewarganegaraan di bawah Bab I Bahagian III dalam Perlembagaan. Kecuali hak-haki istimewa Bumiputera, orang-orang bukan Bumiputera dianggap sebagai sama saja dengan orang-orang Bumiputera dan diberikan semua hak kewarganegaraan di bawah Bahagian II dalam Perlembagaan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, sebilangan orang telah mencuba untuk membekalkan warganegara-warganegara Melayu dengan lebih banyak hak politik menurut falsafah ketuanan Melayu. Kebanyakan penyokong ketuanan Melayu memperdebatkan bahawa hak-hak tambahan ini telah ditulis dalam undang-undang dan hanya perlu dipertahankan daripada pembangkang-pembangkang.


Apabila mengambil alih jawatan presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman (kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama) menyatakan bahawa “…apabila kami (orang-orang Melayu) menentang Malayan Union (yang menjejaskan kedudukan hak-hak orang Melayu), kaum-kaum lain tidak mengambil bahagian kerana mereka mengatakan ini hanya merupakan masalah Melayu, dan bukan masalah mereka. Mereka juga menunjukkan bahawa kesetiaan mereka adalah kepada negara-negara asal mereka dan oleh itu, menentang Laporan Barnes yang bertujuan untuk menjadikan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan. Jika kami menyerahkan orang-orang Melayu kepada orang-orang yang dikatakan orang Malaya ketika kerakyatan mereka masih belum ditakrifkan, kami akan menghadapi banyak masalah pada masa hadapan.” Bagaimanapun, dia menambah bahawa “Bagi mereka yang mencintai dan berasa bahawa mereka terhutang kesetiaan yang tidak berbelah bagi, kami menyambut mereka sebagai orang Malaya. Mereka harus merupakan orang Malaya yang benar, dan mereka akan mempunyai hak-hak dan hak-hak istimewa yang sama dengan orang-orang Melayu.”
Ketiga-tiga di atas merupakan sentimen yang sering dimainkan oleh parti-parti politik sejak kebelakangan ini. Semangan muhibah dikalangan pemimpin-pemimpin awal negara seakan-akan dipermainkan oleh anak cucu mereka yang menjadi pemimpin parti-parti politik pada hari ini.



Persoalannya ketika isu kontrak sosial dimainkan oleh pemimpin bukan melayu…di mana pemimpin-pemimpin Melayu terutama dari pembangkang tampil mempertahankan kontrak sosial yang sudah sekian lama terbina?? Adakah adil sekiranya kita membiarkan konsep Ketuanan Melayu ini dihapuskan dan diganti dengan konsep Ketuanan Rakyat (sedangkan Ketuanan Melayu juga adalah sama kecuali penekanan yang lebih diberikan kepada orang Melayu) yang belum terbukti lagi menjamin masa depan orang Melayu? Adilkah sekiranya anak-anak kita terpaksa mengharungi keperitan untuk ‘survive’ di masa hadapan sedangkan kita telah membesar dengan agak selesa sehingga apa yang kita kecapi setakat hari ini adalah hasil dari konsep Ketuanan Melayu. Diharap anak-anak muda faham akan kenapa walaupun negara kita sudah 50tahun merdeka konsep ini masih digunapakai. Konsep ini bukan lah sesuatu yang baru dan sejarah membukti bahawa terpisahnya Malaysia dengan Singapura adalah akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pemimpin parti induk DAP iaitu PAP yang memainkan isu ketuanan Melayu ini. Adakah anda lebih gemar konsep Ketuanan Melayu ini digugurkan dan digantikan dengan konsep Malaysian Malaysia atau konsep Ketuanan Rakyat??? Bukankah pemimpin parti seperti PKR dan PAS ini merupakan anak-anak yang membesar hasil dari konsep Ketuanan Melayu ini. Cuba fikirkan di mana pemimpin-pemimpin ini berada sekiranya konsep Ketuanan Melayu dihapuskan dahulu?? Adakah mereka akan begelar pemimpin??


Terkini


Istilah “Ketuanan Melayu” perlu dilihat dalam konteks perjuangan orang Melayu sebelum merdeka yang menganggap Semenenjung Tanah Melayu sebagai tanah pusaka (sons of the soil) seperti yang diakui oleh pihak penjajah British ketika itu. Istilah ini juga merujuk kepada situasi sebelum merdeka yang menjelaskan reaksi orang Melayu terhadap penubuhan Malayan Union yang telah menghapuskan “Ketuanan Melayu” dari segi kedaulatan, kuasa politik dan isu kewarganegaraan yang longgar. “Ketuanan Melayu” dilaungkan oleh pemimpin Melayu pada ketika itu bagi menyatupadukan orang Melayu menentang Malayan Union dan bukannya menuntut kemerdekaan. Oleh itu, konsep ini ialah peristiwa dan reality sejarah pada ketika itu dan ia dimasukkan bukan bertujuan untuk menggugat perpaduan masyarakat Malaysia.


Gagento : Istilah di atas merupakan penjelasan Kementerian Pelajaran mengenai Ketuanan Melayu. Penjelasan ini dipetik dari blog LKS.

Blog kecam Husam, ‘kumpulan Erdogan’

Sembah salam pada pembaca kerana lewat ini, saya amat berminat dengan isu 'Team Erdogan'. Isu muqabalah PAS-Umno dan hubungannya dalam Pakatan Rakyat masih berlarutan di internet walaupun selepas berakhir muktamar tahunan parti itu pertengahan bulan ini.
Kali ini satu blog khas dibangunkan secara khusus untuk mengecam Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang dianggap mewakili kumpulan yang menentang rundingan sulit parti itu dengan Umno.

Selain itu ia juga mengutuk beberapa pemimpin kanan PAS yang digelarnya “kumpulan Erdogan” yang didakwa diketuai oleh Husam. Setiausaha agung Datuk Kamarudin Jaafar dan bendahari Dr Hatta Ramli turut menjadi mangsa serangannya. Terbaru, sasarannya dihadapkan kepada timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor, Khalid Samad.

Dipercayai dibina oleh orang dalam parti itu sendiri menjelang muktamar PAS ke-54 baru-baru ini, Anti Husam (www.antihusam.blogspot.com) turut mendakwa pemimpin kanan itu ke luar negara bersama penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa restu PAS. Blog turut mendakwa Anwar berjanji “memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada Husam (setelah dilantik sebagai senator) apabila kerajaan persekutuan yang baru dibentuk oleh Pakatan Rakyat pada 16 September nanti.” Jawatan Husam itu didakwa dijanjikan oleh Anwar sewaktu mereka di Dubai pada Jun lalu - yang digelar blog itu sebagai “Deklarasi Dubai” - bagi membincangkan strategi menghalang muqabalah PAS-Umno.

“Pertemuan (PAS-Umno) itu adalah ancaman besar buat Anwar dan Husam. Maka mereka merancang supaya sebarang usaha mempertemukan PAS dan Umno akan gagal sama sekali di masa hadapan,” satu artikel blog itu dipetik. Ia mendakwa, untuk mencapai matlamat sedemikian, exco kerajaan Kelantan itu mengumpulkan “orang-orangnya” termasuk dua ahli jawatankuasa pusat Dr Dzulkifli Ahmad serta Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, dan ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub. Penulis blog Anti Husam, yang tidak mendedahkan identitinya, menamakan pemimpin-pemimpin ini sebagai “kumpulan Erdogan”, dipercayai merujuk nama Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang mewakili parti Islam beraliran moderat untuk menyesuaikan dengan konteks politik negara itu yang pro-sekular.

“Maka bersungguh-sungguhlah mereka (secara sedar mahupun tanpa disedari) mempertikaikan dan menyanggah keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang mengizinkan presiden dan timbalannya mengadakan pertemuan dengan Umno.
“Manakala tugas terpenting buat Husam ialah untuk mempengaruhi Tok Guru Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) supaya beliau juga tidak bersetuju dengan sebarang bentuk pertemuan di antara PAS dan Umno.

“Sebab itulah kita melihat Tok Guru kita seringkali membuat kenyataan yang agak bercanggah dengan Tuan Guru Presiden dan Majlis Syura…,” coretan yang sama bertarikh 11 Ogos dipetik.
Dalam muktamar PAS di Ipoh antara 14 hingga 17 Ogos lalu, isu muqabalah dengan Umno dan kerjasama PAS dengan Pakatan Rakyat terus-meneruskan dibangkitkan sehingga memperlihatkan kecenderungan dua aliran dalam parti itu yang condong kepada muqabalah dan satu lagi yang pro-kerjasama dengan Pakatan.

Di sidang muktamar Pemuda PAS, isu muqabalah memuncak sehingga jelas membelah kumpulan perwakilan dewan itu yang menyokong muqabalah, antaranya disuarakan perwakilan-perwakilan Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Seorang perwakilan Terengganu mendesak Husam bersama Salahuddin dan ketua penerangan PAS Mahfuz Omar dikenakan tindakan disiplin dengan alasan pernah mengeluarkan kenyataan terbuka yang dianggap melanggar keputusan pucuk kepemimpinan PAS termasuk presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang pro-muqabalah. Dalam ucapan penggulunggannya, Abdul Hadi menegaskan PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat tetapi tidak menolak pertemuan dengan mana-mana pihak, termasuk Umno.

Tidak betah dengan kritikan Anti Husam minggu lalu, Khalid kelmarin melalui blognya (www.khalidsamad-shahalam.blogspot.com) menjawab tuduhan beliau “biadab, tiada akhlak dan menuju ke arah syakhsiyah jahiliyah” kepada presiden PAS. “Cubalah kita bayangkan betapa rendahnya martabat tuan guru presiden menurut kaca mata Khalid sehingga di-aku-engkau-kan,” dakwa Anti Husam. Sambil menegaskan rasa hormatnya sewaktu berkata-kata kepada Abdul Hadi dan Nik Aziz, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menjawab:

“Kalimah ‘aku’ kadang-kadang saya gunakan semasa bergurau dengan sahabat handai, tetapi tidak sekali-kali semasa bercakap dengan mereka. ‘Engkau’ saya tidak pernah pakai dan sebaliknya menggunakan ‘awak’ secara kebiasaan.” Khalid juga menafikan beliau sebahagaian pengikut Husam dan menafikan wujudnya puak-puak dalam PAS. “Dalam mesyuarat, adakalanya saya menyanggah pandangan Dr Dzulkifli, adakalanya pandangan Husam dan juga sebaliknya. Itu perkara biasa bagi kami. Kita ingin mencari keputusan yang terbaik,” katanya lagi.

Pemimpin kanan PAS Selangor itu juga menjawab dakwaan beliau “berlagak pandai” mengenai kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat di negeri itu yang kini ditadbir oleh gabungan tersebut.
Anti Husam berkata pemimpin yang berhak bercakap hubungan parti itu dalam Pakatan di Selangor adalah pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali dan ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mukhyi. Khalid menjelaskan, sebagai pemimpin kanan di Selangor, beliau juga dilantik sebagai pengerusi PASKAD iaitu unit kajian dasar dan strategik PAS negeri.

“Saya tahu apa yang berlaku. Namun saya merasakan masalah yang kita sedang hadapi dalam Pakatan Rakyat adalah perkara biasa,” jelas Khalid. Bagaimanapun, Khalid tidak menafikan wujudnya perbezaan dengan Sallehen, namun menurutnya “kita tahu adabul ikhtilaf dan tidak membodohkan satu sama lain.” Anti Husam juga mendakwa Khalid cuba membela kaum Cina dengan meminggirkan Melayu sendiri di Selangor, termasuk pengagihan kerusi ahli Majlis Bandaraya Shah Alam yang didakwa sewajarnya untuk ahli PAS.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Shah Alam menjelaskan, bahawa Anti Husam menganut sikap perkauman dan berfikiran sempit. “Sebenarnya, peruntukan untuk PAS diisi oleh orang PAS. Ada pula peruntukan untuk NGO dan profesional. Ang yang saya cadangkan adalah Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Berkeley. Saya cadangkan nama beliau untuk mengisi peruntukan NGO,” kata Khalid. Khalid menjelaskan, pemimpin persatuan penduduk itu “amat berjasa kepada PAS kerana berkerja keras untuk PAS semasa pilihanraya umum 1999 hingga 2008″.
Khalid juga menolak dakwaan Anti Husam yang menyifatkan dirinya sebagai “hero DAP” kerana cuba menenangkan pertikaian dua ahli parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat, Zulkifli Nordin (PKR-Kulim Bandar Baharu) dan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) minggu lepas.

“Sebenarnya Zulkifli dan Chong bertelagah hasil jolokan Umno-BN. Isu asal berhubung bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi sengaja dikaitkan kepada forum Majlis Peguam.
“Saya masuk untuk menghentikan perbalahan di antara dua wakil Pakatan Rakyat dengan membawa perbahasan kembali kepada isu asal iaitu Bahasa Kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi,” jelas Khalid. Anti Husam mendakwa bendahari PAS pernah berkata “hah… masuklah Umno kalau macam itu!” sewaktu Timbalan Mursyidul Amnya Datuk Dr Harun Din menggulung perbahasannya di muktamar.
Oleh itu, blog itu mendakwa Dr Hatta bersikap “cukup kurang ajar” kepada tokoh ulama PAS itu. Blog itu juga mendakwa Dr Hatta menyelewengkan sumber kewangan parti dan menegaskan “kalau ada masa dan setelah mendapat bukti yang cukup, saya akan bongkarkan penyelewengan yang beliau lakukan dalam menguruskan kewangan PAS.”

Mengenai Setiausaha Agung parti, Anti Husam mengkritiknya berhubung isu rasa tidak puas hati pemimpin PAS Pulau Pinang dalam pengagihan jawatan di negeri itu dan hasrat mereka untuk memboikot kempen Anwar dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh yang berakhir hari ini. Kamaruddin menganggap isu ini “sudah selesai” tetapi blog itu pula mempersoalkan sama ada masalah PAS negeri berkenaan pernah dibincangkan dengan Abdul Hadi dan timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa.

“Atau Datuk (Kamaruddin) hanya perlu menerima arahan daripada bos lama Datuk, iaitu Anwar dan Husam Musa sahaja? “Ataupun Datuk dah cukup besar kepala, nak langkah bendul mendahului presiden dan timbalan presiden PAS dan cuba menyelesai dan memadam kemelut PAS Pulau Pinang ini dengan cara Datuk sendiri,” Anti Husam terus mengecam lagi.
Gagento : Nampaknya sahlah Anwar pembohong. Kita saja sebahagiannya tidak sedar ditipu.

Friday 28 November 2008

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)

Berkat kesungguhan dan kegigihan segenap lapisan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kita bukan saja berupaya mengekalkan kestabilan negara serta pertumbuhan ekonomi menggalakkan, malah dapat terus meningkatkan daya saing negara. Kejayaan ini jelas terserlah melalui pelbagai pencapaian yang berjaya kita peroleh dalam tempoh masa dua tahun lalu.

Antara lainnya, kita berjaya:

  • Mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada kadar membanggakan, iaitu sebanyak 6.1 peratus setahun;
  • Menaiktaraf kualiti hidup rakyat melalui peningkatan pendapatan perkapita daripada RM18,840 pada 2005 kepada RM23,066 pada 2007;
  • Mengurus perbelanjaan kerajaan secara berhemah, dengan pengurangan defisit fiskal negara daripada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2005 kepada 3.2 peratus pada 2007;
  • Meneroka sumber pertumbuhan baru dan meningkatkan produktiviti pekerja;
  • Meningkatkan kualiti dan akses kepada sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara;
  • Mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007, manakala kemiskinan tegar pula menyusut daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus pada 2007;
  • Mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar;
  • Melahirkan hampir 68,000 orang usahawan baru, di samping melatih seramai lebih 120,000 usahawan melalui pelbagai program pembangunan usahawan;
  • Memastikan akses lebih baik kepada penjagaan kesihatan, kemudahan perumahan, memperluas jaringan jalan raya ke kawasan luar bandar, menyediakan pengangkutan awam lebih baik dan meningkatkan keselamatan jalan raya; dan
  • Meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam, termasuk menggantikan Certificate of Fitness for Occupation (CFO) yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan dengan Certificate of Completion and Compliance (CCC) serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

Jelaslah kepada kita bahawa pencapaian dalam tempoh pelaksanaan RMK-9 setakat ini bukan hanya terbatas kepada perancangan mahupun retorik semata-mata, tetapi terjelma dalam pencapaian yang hakiki. Justeru, pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-9 ini amat penting bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan negara, apatah lagi dalam suasana ekonomi semasa yang amat mencabar.

Sekiranya tidak ditangani secara wajar, kenaikan harga minyak dan komoditi yang mendadak, serta kemelut dalam pasaran kewangan sedunia yang masih berlanjutan, mampu menjejaskan usaha kita untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan mapan. Oleh itu, salah satu objektif utama bagi fasa kedua dalam pelaksanaan RMK-9 adalah untuk memastikan agar mutu hidup rakyat tetap terpelihara. Program peningkatan pendapatan serta jaringan keselamatan sosial akan terus dilaksana dan diperkasa. Pada masa sama, Kajian Separuh Penggal ini juga tidak melupakan keperluan untuk terus meningkatkan kapasiti dan daya saing negara. Pembinaan infrastruktur, pembangunan modal insan, dan perkembangan sektor pertumbuhan baru akan terus dipacu, dengan mengambil kira keperluan jangka panjang pembangunan negara.

Bagi memastikan agar Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan positif, agenda pembangunan negara akan terus direncana berdasarkan lima Teras Utama Misi Nasional, iaitu:

  1. Pertama: Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
  2. Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama;
  3. Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif; Keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

Perspektif Ekonomi Makro Prestasi 2006-2007

Dalam tempoh 2006-2007, KDNK sebenar negara berkembang sebanyak 6.1 peratus setahun, melebihi sasaran 6.0 peratus. Pendapatan perkapita rakyat meningkat sebanyak 10.6 peratus setahun kepada RM23,066. Pendapatan perkapita berdasarkan pariti kuasa beli meningkat lebih tinggi sebanyak 14.2 peratus kepada RM46,478 pada 2007.

Pertumbuhan ini dicapai dalam suasana harga yang stabil. Kadar pengangguran pula berada pada tahap 3.3 peratus pada 2007, mencerminkan paras guna tenaga yang penuh. Perdagangan luar terus mencatatkan kemajuan, dengan jumlah dagangan negara kini mencapai tahap purata hampir RM100 bilion sebulan. Rizab luar bersih juga meningkat kepada RM335.7 bilion, cukup bagi membiayai keperluan import tertangguh negara selama 8.4 bulan. Kemajuan ekonomi yang membanggakan ini tercapai dalam suasana kerajaan terus mengamalkan dasar fiskal berhemat.

Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat ini diterajui sektor swasta, dengan pertumbuhan pelaburan swasta pada kadar 8.6 peratus setahun. Aliran masuk bersih pelaburan asing langsung (FDI) juga meningkat sebanyak 39.3 peratus setahun kepada RM29.1 bilion pada 2007. Pelaburan awam turut meningkat sebanyak 8.9 peratus setahun berikutan pelaksanaan pesat projek pembangunan RMK-9.

Sektor perkhidmatan adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, dengan peningkatan pada kadar 8.5 peratus setahun. Pertumbuhan ini diterajui subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan. Di samping itu, sumbangan sektor perkhidmatan diperkukuhkan lagi oleh perkembangan ketara dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran, serta subsektor pengangkutan yang dibantu oleh kejayaan gemilang Program Tahun Melawat Malaysia 2007.

Sektor pembuatan mengalami pertumbuhan sederhana sebanyak 5.1 peratus setahun ekoran kelembapan permintaan global bagi keluaran elektronik serta permintaan dalam negeri yang rendah bagi kenderaan pengangkutan.

Sektor pertanian pula mencatat pertumbuhan sederhana, iaitu pada kadar purata 3.8 peratus setahun. Ini berikutan bencana banjir yang berlaku pada akhir 2006 dan awal 2007, yang mempengaruhi prestasi dan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara. Bagaimanapun, sektor pembinaan sudah kembali pulih dan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMK-9.

Prospek, 2008-2010

Bagi tempoh akhir RMK-9, kerajaan akan terus melaksanakan pengurusan ekonomi makro yang berhemah bagi memastikan asas ekonomi terus kukuh. Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia yang sederhana, sebanyak 4.1 peratus setahun bagi tempoh 2008-2010, ekonomi Malaysia dijangka mampu berkembang secara purata 6.0 peratus setahun. Pertumbuhan ini dijangka akan disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negara, terutama permintaan yang masih kukuh di kalangan negara rantau Asia, khususnya China dan India. Permintaan swasta dijangka terus menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi, dengan pelaburan swasta dijangka berkembang sebanyak 10.6 peratus, dan jumlah pelaburan pada harga semasa dianggar mencapai RM305.8 bilion bagi tempoh 2008-2010.

Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi. Khususnya, sektor perkhidmatan dijangka mencatat perkembangan sebanyak 7.9 peratus setahun, yang diterajui subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

Sektor pembuatan pula dijangka mencatat pertumbuhan lebih perlahan pada kadar 3.0 peratus setahun berikutan kelembapan permintaan global berterusan terhadap keluaran elektrik dan elektronik. Namun, industri pembuatan bagi pasaran domestik dijangka akan berkembang pesat, terutama industri berkaitan pembinaan.

Sektor pertanian juga akan terus diberi penekanan, terutama subsektor tanaman makanan bagi menyokong Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara. Sektor ini dijangka berkembang pada kadar 4.1 peratus setahun. Sektor pembinaan pula dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh dengan kadar purata 5.8 peratus setahun. Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan ke arah mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan. Sehubungan ini, langkah akan diambil untuk meluaskan asas hasil bagi meningkatkan pendapatan negara.

Kualiti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam akan dipertingkat, manakala bantuan kepada golongan miskin dan yang memerlukan akan diteruskan. Melalui langkah pengukuhan kedudukan kewangan, kerajaan menjangka akan dapat mengekalkan defisit fiskal pada tahap 3.2 peratus daripada KDNK pada 2010, sekali gus memastikan agar kewangan negara terus diurus secara berhemah dan fleksibel bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan, termasuk risiko kemelesetan ekonomi pada masa hadapan.

Teras 1: Meningkatkan nilai ditambah dalam ekonomi negara.

Teras pertama Misi Nasional iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, adalah prasyarat untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia ke arah kelas ekonomi berpendapatan tinggi. Tiga strategi utama yang perlu bagi mencapai tujuan ini adalah:

  • Pertama: Meningkatkan produktiviti dan daya saing negara;
  • Kedua: Menjana sumber pertumbuhan baru; dan
  • Ketiga: Mengembangkan pasaran bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia.

Meningkatkan Produktiviti dan Daya Saing

Kerajaan menyedari kepentingan daya inovasi dalam memacu pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara. Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan dana sewajarnya bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R & D), serta pengkomersialan teknologi. Dalam pada itu, kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam penyelidikan yang didorong pasaran akan terus dipertingkatkan.

Kerajaan juga berhasrat untuk menggalakkan lagi pembabitan sektor swasta dalam perkembangan sektor pertumbuhan baru. Ini termasuklah bidang kewangan Islam dan takaful, pembuatan berteknologi tinggi, pelancongan kesihatan, pengajian tinggi dan pertanian berskala besar. Perkembangan bidang pertumbuhan baru itu perlu dipacu dengan penyediaan insentif bersesuaian, termasuklah kemudahan pinjaman. Antara lain, kerajaan berhasrat meningkatkan lagi pertumbuhan industri modal teroka. Institusi kewangan pembangunan, firma ekuiti persendirian dan syarikat modal teroka akan digalakkan untuk menawar terma dan syarat lebih menarik, di samping memberi sokongan bina upaya kepada syarikat yang menerima pelaburan.

Selain itu, rangka kerja perundangan yang berkesan adalah kritikal bagi mewujudkan persekitaran pasaran yang kondusif. Sehubungan itu, perundangan amalan perdagangan adil akan diperkenalkan. Bagi meningkatkan perlindungan untuk harta intelek, lebih banyak mahkamah harta intelek akan ditubuhkan, manakala keupayaan pengamal harta intelek akan dipertingkatkan. Infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi adalah satu keperluan utama bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sehubungan itu, peluasan infrastruktur jalur lebar akan dipertingkatkan menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi mencapai sasaran kadar penembusan jalur lebar setinggi 50 peratus isi rumah menjelang 2010.

Pembangunan sektor tenaga yang mapan juga perlu bagi memastikan bekalan tenaga terjamin dalam jangka panjang. Inisiatif kecekapan tenaga akan dipergiatkan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang produktif dan berhemat. Kerajaan juga akan mempergiatkan aktiviti R & D dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam dan menjimatkan kos, ke arah menjamin keselamatan tenaga.

Untuk tujuan ini dan mengambil kira sumber hidro-karbon di negara yang terhad dan semakin menyusut, kerajaan akan merangka sebuah Dasar Tenaga Nasional untuk menjamin keperluan negara dapat dipenuhi dalam jangka masa pendek dan panjang.

Menjana Sumber Pertumbuhan Baru

Bagi meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, bidang keutamaan sudah dikenal pasti bagi memastikan perancangan bersepadu serta pelaksanaan tersusun. Dalam sektor perkhidmatan, kerjasama sektor awam dan swasta akan dipergiatkan untuk mengambil peluang daripada peningkatan permintaan pasaran serantau terhadap pengajian tinggi, pelancongan kesihatan, dan lain-lain perkhidmatan. Pembangunan perkhidmatan kewangan Islam, khususnya takaful, akan terus digalakkan. Antara lain, inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan dipergiatkan bagi meletakkan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Bagi memanfaatkan potensi bioteknologi sebagai sumber pertumbuhan baru dan penjana kekayaan, syarikat bioteknologi akan diberi sokongan dan galakan. Aplikasi bioteknologi dalam pertanian, penjagaan kesihatan dan penggunaan industri akan diperluaskan melalui pemerolehan teknologi, penggalakan R & D dan pemakaian amalan makmal terbaik. Pembangunan sumber pertumbuhan baru dalam bidang pertanian akan turut digalakkan. Tumpuan akan diberikan kepada pelbagai bidang berpotensi tinggi, termasuk penanaman kenaf, perikanan laut dalam, penternakan ikan hiasan dan lain-lain.

Pembangunan industri halal akan diterajui Perbadanan Pembangunan Industri Halal dengan berpandukan Pelan Induk Pembangunan Industri Halal. Untuk memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab multimedia dan ICT, penekanan akan diberikan kepada bidang berpotensi tinggi, termasuk perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar, pembangunan kandungan multimedia dan teknologi analisis ramalan. Mengembangkan Pasaran bagi Barangan dan Perkhidmatan Malaysia Peluasan pasaran adalah perlu bagi meningkatkan daya saing negara. Sehubungan itu, barangan dan perkhidmatan Malaysia akan dipromosikan secara lebih intensif ke pasaran baru, termasuk di Afrika, Asia Barat dan Selatan serta negara Kesatuan Eropah (EU) dan Asean. Misi perdagangan akan ditambah dan rangkaian pasaran baru akan diperkukuhkan lagi.

Sistem maklumat pemasaran di pelbagai agensi seperti Matrade, Fama dan MDeC akan dinaik taraf dan disepadukan bagi memudahkan usaha import dan eksport. Program membina imej Malaysia dan produk jenama Malaysia akan terus dipergiatkan. Di samping itu, peraturan pengiktirafan bersama, perjanjian perdagangan bebas dan peraturan pelbagai hala akan terus dirundingkan bagi memudahkan kemasukan barangan dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran baru. Pakatan strategik dan usaha sama dengan syarikat antarabangsa ternama akan dipertingkatkan bagi memperluaskan rangkaian pasaran bagi barangan dan perkhidmatan berasaskan pertanian, pembuatan dan ICT. Pensijilan halal Malaysia akan terus dipromosikan sebagai piawaian halal bertaraf global.

Teras 2: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama' Dalam teras kedua Misi Nasional, usaha melahirkan modal insan berkualiti yang berpengetahuan, berinovasi dan memiliki nilai positif akan terus diberi keutamaan. Objektif ini akan dicapai melalui pelaksanaan lima strategi utama:

  • Pertama: Memperkukuh program pendidikan dan latihan;
  • Kedua: Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan;
  • Ketiga: Membina institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa;
  • Keempat: Menggalakkan R & D dan meningkatkan daya inovasi; dan
  • Kelima: Memupuk nilai moral dan etika yang kukuh.

Memperkukuh Program Pendidikan dan Latihan

Pendidikan terus diberi penekanan utama dalam rancangan pembangunan kerajaan. Antara lain, perhatian akan diberikan kepada pendidikan di kawasan luar bandar bagi mengurangkan jurang yang masih luas dalam pencapaian akademik antara pelajar sekolah luar bandar dengan bandar. Sehubungan itu, sebanyak RM13.5 bilion akan diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur sekolah, menyediakan kemudahan ICT serta menggalakkan lebih ramai guru berpengalaman berkhidmat di kawasan luar bandar.

Perhatian khusus akan diberikan kepada sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, sekolah jenis kebangsaan aliran Cina dan Tamil akan terus dibantu dan dipertingkatkan. Pendidikan pra-sekolah juga akan diberi perhatian. Untuk memastikan mutu pengajaran, kerajaan akan menyeragamkan kurikulum pra-sekolah, agar semua murid dapat membaca dan mengira sebelum memulakan pendidikan formal di peringkat sekolah rendah. Kerajaan akan turut memberi tumpuan bagi meningkatkan akses kepada pengajian tinggi.

Enrolmen di institusi pendidikan tinggi awam akan bertambah apabila kampus tetap bagi tiga universiti baru iaitu Universiti Darul Iman Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia siap dibina. Di samping itu, pelaksanaan program francais UiTM akan meningkatkan enrolmen pelajar UiTM ke arah mencapai sasaran 200,000 pelajar menjelang 2010. Institusi teknikal dan vokasional pula akan terus diperkasa melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kemahiran dan Latihan. Enrolmen pelajar dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan ditingkatkan menerusi penggunaan kapasiti sedia ada, pembiayaan pelajar di institusi latihan swasta serta peruntukan tambahan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Bagi membantu pelajar tercicir, pembinaan pusat Giat Mara baru akan dipercepatkan, dengan 80 peratus pengambilan akan dikhaskan untuk kumpulan pelajar tercicir. Di samping itu, pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional yang menekankan latihan praktikal di industri akan dibuka kepada kumpulan pelajar tercicir. Bagi menggalakkan proses pembelajaran secara berterusan, penyertaan dalam program pembelajaran sepanjang hayat akan ditingkatkan dengan melaksanakan proses kemasukan lebih fleksibel serta mengambil kira pengalaman kerja. Bagi meningkatkan penyertaan industri, pengecualian cukai akan diberi ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan bagi melatih pekerja mereka di kolej komuniti pada peringkat diploma. Bantuan kewangan dalam bentuk elaun bulanan dan yuran pengajian juga akan dipertimbangkan bagi pelajar di kolej komuniti.

Menjadikan Sekolah Kebangsaan Sebagai Sekolah Pilihan

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua kaum, pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan kemudahan pengajaran di sekolah terbabit. Antara lain, pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan akan dipertingkatkan lagi.

Membina Institusi Pengajian Tinggi Bertaraf Antarabangsa

Sebuah sistem penarafan akan dilaksanakan bagi tujuan menilai kualiti dan daya saing di kalangan institusi pengajian tinggi awam. Bagi meningkatkan pengiktirafan antarabangsa, lebih ramai pakar dari universiti luar negara, industri dan badan profesional akan dilantik sebagai panel penilai program akademik yang ditawarkan di IPTA dan IPTS. Sebuah Institut Penyelidikan Malaysia akan ditubuhkan bagi meningkatkan kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dengan universiti terkemuka dunia.

Menggalakkan R & D Dan Meningkatkan Daya Inovasi

Sains dan teknologi adalah penting untuk pembangunan negara. Oleh itu, pelbagai langkah akan terus diambil bagi menambah baik infrastruktur dan sistem inovasi negara. Bagi meningkatkan bilangan penyelidik dan pereka cipta pada masa depan, lebih banyak biasiswa disediakan bagi peringkat pengajian lepasan ijazah untuk mencapai sasaran 50 orang penyelidik dan jurutera bagi setiap 10,000 orang pekerja. Sektor swasta juga akan digalakkan untuk turut menyumbang melalui penyediaan biasiswa serta bantuan kewangan bagi R&D dan pengkomersialan teknologi.

Memupuk Nilai Moral dan Etika yang Kukuh

Hasrat untuk melahirkan modal insan dengan 'minda kelas pertama' menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh. Usaha ini akan terus dipertingkatkan melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional serta penerapan prinsip Islam Hadhari. Di samping itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang disusun semula sebagai sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di samping ditambah kapasitinya bagi meningkatkan keberkesanannya dalam membasmi aktiviti rasuah.

Teras 3: Menangani ketidaksamaan sosioekonomi berterusan

Teras ketiga Misi Nasional menegaskan semula falsafah 'pertumbuhan dengan pengagihan' bagi menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang masih wujud di antara kumpulan etnik, wilayah dan bandar serta luar bandar. Kesan pertumbuhan ekonomi serta langkah kerajaan memperbaiki ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif berjaya mewujudkan suasana pembangunan ke arah 'pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama' serta mendorong peningkatan dan pengagihan saksama peluang bermutu untuk semua rakyat Malaysia.

Bagi meneruskan agenda kesaksamaan ini, enam strategi utama akan dilaksanakan:

  • Pertama: Membasmi kemiskinan;
  • Kedua: Menambah baik pengagihan pendapatan;
  • Ketiga: Menyusun semula hak milik;
  • Keempat: Menyusun semula guna tenaga;
  • Kelima: Mencapai keseimbangan wilayah; dan
  • Keenam: Membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Membasmi Kemiskinan

Kemiskinan mutlak di Malaysia terus berkurangan. Insiden kemiskinan keseluruhan di kalangan rakyat Malaysia menyusut secara berterusan, daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007. Jumlah isi rumah miskin juga berkurangan sebanyak 33 peratus daripada 311,300 kepada 209,000 dalam tempoh sama. Pengurangan insiden dan bilangan isi rumah miskin ini adalah hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang mantap serta pelaksanaan pelbagai program dan projek pembasmian kemiskinan.

Pengurangan kemiskinan turut berlaku di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. Insiden kemiskinan bandar berkurangan daripada 2.5 peratus pada 2004 kepada 2.0 peratus pada 2007; sementara bagi kawasan luar bandar, insidennya menurun dengan ketara daripada 11.9 peratus kepada 7.1 peratus. Kejayaan usaha pembasmian kemiskinan jelas terbukti, termasuk di Sabah dan Sarawak. Insiden kemiskinan di Sabah berkurangan daripada 23.0 peratus pada 2004 kepada 16.0 peratus pada 2007; manakala di Sarawak, insiden kemiskinan menurun daripada 7.5 peratus pada 2004 kepada 4.2 peratus pada 2007.

Lebih membanggakan lagi, kemiskinan tegar kini berkurangan daripada 1.2 peratus pada 2004 kepada 0.7 peratus pada 2007. Bilangan isi rumah miskin tegar berkurangan sebanyak 43 peratus, iaitu daripada 67,300 kepada 38,400 dalam tempoh sama. Berasaskan prestasi ini, kerajaan yakin sasaran RMK-9 untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 akan dapat dicapai. Dalam tempoh akhir RMK-9, usaha pembasmian kemiskinan akan terus diperkasa. Pembentukan mekanisme pemantauan dan penilaian lebih tersusun di pelbagai peringkat pentadbiran meliputi negeri dan daerah akan dilaksanakan.

Usaha ini akan diterajui oleh ‘Focus Group Mengenai Kemiskinan’ yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara. Usaha pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar akan berpaksi kepada penyediaan infrastruktur asas, penjanaan pendapatan dan pembangunan modal insan. Projek Agropolitan yang membabitkan pembangunan tanah bersepadu untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin di kawasan luar bandar terus dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak. Bagi golongan miskin di kawasan bandar, program penjanaan pendapatan dan penyediaan keperluan asas perumahan serta kemudahan sosial lebih baik akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup. Antara lain, skim Jaringan Keselamatan Sosial yang dilancarkan pada 1990 akan terus diperkukuh dan diperluaskan dengan pelbagai bantuan. Di antara bantuan diberikan adalah bantuan kepada kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya, pesakit kronik dan bantuan anggota palsu. Program ini adalah tambahan kepada dasar sedia ada seperti pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang ada secara murah dan percuma.

Program pembasmian kemiskinan untuk kumpulan minoriti serta golongan miskin tidak produktif akan dirancang dengan mengambil kira perbezaan keperluan dan tahap pembangunan mereka. Program pembangunan tanah dan usaha mengurangkan kadar keciciran di kalangan Orang Asli akan dimantapkan. Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan taraf hidup termasuk penyediaan akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas bagi kumpulan minoriti di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Menambah Baik Pengagihan Pendapatan

Pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia terus mencatat peningkatan iaitu daripada RM3,249 pada 2004 kepada RM3,686 pada 2007. Peningkatan ini adalah hasil pertumbuhan ekonomi yang positif, lantas menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan di kalangan semua rakyat Malaysia. Semua kumpulan etnik mencatatkan peningkatan pendapatan isi rumah dalam tempoh sama. Pada 2007, pendapatan isi rumah purata kaum Bumiputera meningkat sebanyak 5.2 peratus setahun kepada RM3,156 sebulan, manakala isi rumah kaum Cina meningkat pada kadar 3.0 peratus setahun kepada RM4,853 dan isi rumah India pada kadar 3.2 peratus kepada RM3,799.

Hasil peningkatan pendapatan isi rumah luar bandar yang lebih tinggi, nisbah ketidaksamaan pendapatan purata antara luar bandar dengan bandar bertambah baik iaitu daripada 1:2.11 pada 2004 kepada 1:1.91 pada 2007, melepasi sasaran RMK-9 iaitu 1:2.0 menjelang 2010. Ketidaksamaan pendapatan purata antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina terus bertambah baik dengan nisbahnya mengecil daripada 1:1.64 pada 2004 kepada 1:1.54 pada 2007. Ketidaksamaan antara kaum Bumiputera dengan kaum India juga bertambah baik dengan nisbahnya menyusut daripada 1:1.27 kepada 1:1.20 dalam tempoh yang sama. Untuk meneruskan usaha merapatkan jurang pendapatan, penekanan akan diberikan kepada pembinaan modal insan melalui peningkatan kemahiran dan penerapan nilai positif. Tumpuan akan diberikan bagi meningkatkan bahagian pendapatan di kalangan isi rumah 40 peratus terendah bagi membentuk kumpulan berpendapatan pertengahan yang lebih besar dan makmur.

Menyusun Semula Hak Milik

Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat meningkat daripada 18.9 peratus pada 2004 kepada 19.4 peratus pada 2006. Bagi meneruskan pencapaian ini ke arah merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan Bumiputera menjelang 2020, beberapa langkah akan dilaksanakan:

  • Pertama: Penekanan yang lebih akan diberi bagi memastikan Bumiputera mempunyai kawalan kepentingan dalam syarikat swasta. Golongan Bumiputera akan digalakkan untuk melabur dalam sektor pertumbuhan baru seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi, fotonik, nanoteknologi, pembuatan termaju dan kejuruteraan kepersisan.
  • Kedua: Peranan institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji akan diperkasakan.
  • Ketiga: Graduan Bumiputera yang berbakat dan mempunyai idea kreatif dan inovatif akan diberi modal bagi mengkomersialkan idea mereka.
  • Keempat: Sebuah pangkalan data akan dibina bagi tujuan memantau prestasi golongan Bumiputera dalam sektor korporat.

Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti di kalangan golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, usaha seperti skim unit amanah, pembangunan keusahawanan dan latihan kemahiran akan diberi penekanan lebih serius. Bagi meningkatkan pemilikan aset bukan kewangan di kalangan kumpulan Bumiputera di Sarawak, tanah pribumi dan adat akan terus dibangunkan bagi tujuan komersial. Pemilikan ekuiti sektor korporat juga sudah meningkat bagi golongan bukan Bumiputera, daripada 40.6 peratus pada 2004 kepada 43.9 peratus pada 2006. Walaupun peratusan pemilikan etnik India menurun sedikit daripada 1.2 peratus kepada 1.1 peratus, dari segi nilai mutlak, tahap pemilikan etnik India meningkat sebanyak RM575.2 juta atau sembilan peratus dalam tempoh berkenaan. Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di kalangan etnik India kepada 1.5 peratus menjelang 2010, usaha terus dijalankan bagi meningkatkan akses kepada program latihan kemahiran dan keusahawanan. Di samping itu, bantuan juga akan diberikan kepada kaum India untuk meningkatkan pemilikan ekuiti melalui skim unit amanah.

Menyusun Semula Guna Tenaga

Usaha menyusun semula guna tenaga akan diteruskan melalui program pendidikan, latihan kemahiran serta pembangunan keusahawanan. Langkah akan terus diambil bagi menggalakkan pengambilan lebih ramai daripada golongan Bumiputera, komuniti India dan kumpulan minoriti di peringkat pengurusan dan profesional dalam sektor swasta. Di samping itu, lebih ramai kaum bukan Bumiputera akan digalakkan untuk bekerja dalam sektor awam.

Mencapai Keseimbangan Wilayah

Dalam pada itu, pembangunan koridor pertumbuhan diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mengagihkan peluang bermutu ke seluruh pelosok tanah air. Kita tidak mahu pembangunan tertumpu di kawasan bandar tertentu saja. Untuk itu, lima koridor pertumbuhan sudah dilancarkan. Tempoh pembangunan akan mengambil masa antara 20 sehingga 30 tahun, tetapi Insya-Allah, kerajaan akan berusaha untuk memastikan rakyat dapat merasai faedah inisiatif ini secepat mungkin. Kerajaan berhasrat menarik minat pihak swasta, tidak kira pelabur tempatan atau asing, untuk melaburkan dana dalam koridor pertumbuhan. Untuk tujuan ini, pelbagai pakej insentif akan ditawarkan oleh kerajaan. Di samping itu, setiap pihak berkuasa koridor akan memperkenalkan inisiatif khusus untuk mewujudkan lebih ramai usahawan, termasuk usahawan Bumiputera, dalam koridor terbabit. Bagi memastikan pelaksanaan projek dan pemantauan berjalan dengan berkesan, saya sudah mengarahkan supaya setiap pihak berkuasa koridor melaporkan kemajuan pembangunan di kawasan koridor masing-masing secara berkala kepada Jemaah Menteri setiap tiga bulan.

Membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)

Pelaksanaan fasa kedua bagi pembangunan MPPB akan terus diberi penekanan melalui pelaksanaan inisiatif pembangunan kluster yang diterajui sektor swasta. Inisiatif ini dijangka akan dapat meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam 11 sektor ekonomi utama seperti pembinaan, logistik dan pengedaran perdagangan. Bagi memacu pembangunan usahawan Bumiputera, pendekatan seperti pembangunan francais, penyertaan strategik dalam rantaian perniagaan dan penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia akan terus dipergiatkan.

Teras 4: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup

Kerajaan senantiasa menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara perlu disertai dengan peningkatan kualiti hidup untuk seluruh rakyat Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan akan menekankan enam strategi utama:

  • Pertama: Meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan;
  • Kedua: Memenuhi keperluan perumahan dan menambah baik perkhidmatan bandar; Ketiga: Membina infrastruktur asas;
  • Keempat: Menambah baik kemudahan pengangkutan;
  • Kelima: Memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber secara mapan; dan
  • Keenam: Menjana pembangunan masyarakat yang positif.

Meningkatkan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan

Penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan peningkatan kualiti penjagaan akan terus diberi perhatian. Antara lain, akses kepada penjagaan kesihatan bagi golongan Orang Asli dan kumpulan minoriti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan. Klinik bergerak termasuk perkhidmatan doktor udara akan ditambah bagi kawasan terpencil. Satu cabaran utama yang mendepani sektor kesihatan adalah kekurangan pekerja dalam sektor kesihatan awam. Untuk itu, pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi bagi kursus kritikal akan dipertingkatkan. Kerajaan juga akan mempertimbangkan pakej faedah yang lebih baik bagi mengekalkan doktor dan pekerja dalam sektor kesihatan awam.

Memenuhi Keperluan Perumahan dan Menambah Baik Perkhidmatan Bandar

Pembangunan perumahan akan menekankan penyediaan rumah yang mencukupi, mampu dibeli atau disewa, dan berkualiti kepada semua rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan menengah. Antara lain, pelaksanaan program perumahan kos rendah akan dipercepatkan dalam tempoh akhir RMK-9 dengan pembinaan tambahan 18,500 unit Rumah Rakyat Disewa. Di samping itu, sebanyak 12,300 unit Rumah Mampu Milik akan dibina menjelang tahun 2010. Di kawasan bandar, kualiti pengurusan sisa pepejal akan ditingkatkan melalui pelaksanaan skim kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal secara lebih cekap dan menjimatkan. Di samping itu, pelbagai inisiatif pengurusan sisa pepejal, termasuk skim pengurangan sisa pepejal dan kitar semula, akan dipertingkatkan pelaksanaannya.

Membina Infrastruktur Asas

Kerajaan tetap komited ke arah memastikan agar setiap rakyat Malaysia menikmati infrastruktur asas yang diperlukan bagi kehidupan seharian, khususnya bekalan air dan tenaga elektrik. Penggunaan teknologi moden seperti penjana kuasa solar, turbin angin dan sistem penuaian hujan akan dipertingkatkan, khususnya bagi kawasan pedalaman. Di kawasan penduduk ramai seperti Lembah Klang, mutu sistem bekalan air dan pembetungan akan dipertingkatkan dengan tertubuhnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menambah Baik Kemudahan Pengangkutan

Peningkatan sistem pengangkutan awam terus menjadi keutamaan kerajaan, terutama berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan gas baru-baru ini. Sehubungan itu, liputan sistem rel transit bandar akan diperluas dan lebih banyak terminal pengangkutan awam bersepadu akan dibina. Di samping itu, kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi akan ditingkatkan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam, khususnya di kawasan Lembah Klang. Bagi memastikan agar pembangunan sektor pengangkutan di masa hadapan berjalan dengan lebih lancar dan tersusun, kerajaan akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan merangka sebuah Pelan Induk Pengangkutan. Bagi memenuhi liputan yang masih tidak mencukupi terutama di Sabah dan Sarawak, rangkaian jalan raya luar bandar akan diperluaskan lagi. Usaha ini dijangka akan dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman.

Memastikan Pemuliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Secara Mapan

Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesan proses pembangunan ke atas alam sekitar. Penekanan akan diberikan kepada usaha meningkatkan kualiti udara dan air secara berterusan, di samping mengurangkan pencemaran sumber air dan tanah disebabkan pembuangan haram sisa pepejal serta bahan toksik dan berbahaya. Di samping itu, fenomena perubahan iklim turut diberi perhatian. Tumpuan akan diberi ke arah meningkatkan penggunaan tenaga yang cekap di samping sumber tenaga yang boleh diperbaharui, serta menambah baik sistem pengangkutan awam. Langkah pencegahan seperti program tebatan banjir akan turut dilaksanakan supaya impak daripada fenomena perubahan iklim dapat ditangani dengan berkesan.

Menjana Pembangunan Masyarakat Yang Positif

Penjanaan pembangunan masyarakat yang positif antara lain merangkumi pembangunan keluarga, belia, sukan, kebudayaan, kesenian dan warisan. Bagi memperkukuh institusi kekeluargaan secara menyeluruh, sebuah Dasar Keluarga Negara akan digubal. Usaha itu akan membabitkan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk kaunseling, latihan kemahiran keibubapaan dan perkhidmatan kesihatan reproduktif. Memandangkan golongan belia adalah generasi pemimpin masa depan negara, mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan.

Program pembangunan belia akan bertumpu kepada aspek sosialisasi, kepemimpinan dan pendidikan, dengan pembabitan sektor swasta, NGO dan persatuan belia akan diberi penekanan. Dalam usaha pembangunan sukan, penekanan akan diberikan kepada aspek kehidupan aktif dan sihat, di samping mengasah bakat kesukanan ke arah kecemerlangan sukan. Antara lain, persatuan sukan akan dipertingkatkan keupayaan bagi memastikan pencapaian gemilang dalam arena sukan. Pembangunan bidang kebudayaan, kesenian dan warisan akan bertumpu kepada pembinaan nilai positif serta pemupukan persefahaman dan apresiasi bagi kepelbagaian budaya. Usaha mengasah bakat kesenian akan terus dipertingkatkan melalui program kebudayaan, pameran dan acara yang berkualiti tinggi.

Teras 5: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara

Kerajaan beriltizam untuk terus mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dengan tertubuhnya Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), pelbagai proses dan prosedur kerja serta dasar dan peraturan berjaya dinilai dan diperbaiki. Transformasi penyampaian perkhidmatan akan terus dipergiatkan menerusi tiga strategi utama iaitu:

  • Pertama: Mengintegrasi perkhidmatan merentasi agensi;
  • Kedua: Mewujudkan keyakinan terhadap perkhidmatan berasaskan elektronik; dan
  • Ketiga: Mengamalkan perancangan, pemantauan dan penilaian berasaskan pencapaian.

Mengintegrasi Perkhidmatan Merentasi Agensi

Untuk meningkatkan fokus kepada keperluan pelanggan, perkhidmatan merentasi semua agensi perlu digembleng dan disampaikan secara mesra pengguna. Kemajuan yang menggalakkan sudah dicapai dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan perniagaan, khususnya melalui inisiatif e-Government. Satu contoh penting bagi inisiatif ini adalah projek e-KL, yang menggabungkan kesemua perkhidmatan awam berkaitan dalam kawasan Lembah Klang melalui satu portal Internet.

Bagi memperkemaskan pemantauan dan pengurusan aduan, satu sistem aduan bersepadu untuk seluruh sektor awam dengan konsep “One Number Call Centre, No Wrong Door” akan dibangunkan, membabitkan semua kementerian dan agensi di semua negeri dan pihak berkuasa tempatan. Di samping itu, satu Sistem Daftar Nasional bersepadu akan dibangunkan untuk memudahkan perkongsian data merentasi agensi dan mengurangkan kesilapan data atau pertindihan.

Mewujudkan Keyakinan Terhadap Perkhidmatan Berasaskan Elektronik

Penggunaan komputer dan rangkaian maklumat meningkatkan daya saing dan menambah baik penyampaian perkhidmatan. Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan penggunaan perkhidmatan berasaskan elektronik. Sebagai usaha meningkatkan tahap keyakinan dan kefahaman mengenai keperluan keselamatan siber, khususnya keselamatan data peribadi, program kesedaran dan pembelajaran akan disediakan kepada pengguna perkhidmatan elektronik kerajaan. Sehubungan itu, sebuah Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi kini sedang digubal. Di samping itu, satu garis panduan berkenaan perbankan elektronik akan diperkenalkan bagi mengurangkan risiko dan kelemahan dalam penggunaan perbankan melalui Internet.

Mengamalkan Perancangan, Pemantauan dan Penilaian Berasaskan Pencapaian

Pendekatan 'perancangan, pemantauan dan penilaian projek berasaskan pencapaian' akan diterima pakai bagi memastikan projek yang dilaksanakan mencapai objektif dikehendaki. Fokus akan diberi kepada tiga bidang utama iaitu modal insan, sistem serta struktur organisasi untuk memperkukuhkan kapasiti institusi kementerian dan agensi. Struktur penyampaian projek akan disusun semula dengan mengambil kira elemen perancangan, pemantauan dan penilaian.

Peruntukan pembangunan

Di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9, siling keseluruhan peruntukan pembangunan bagi RMK-9 dicadang akan ditambah daripada RM200 bilion kepada RM230 bilion. Tambahan ini adalah bagi menampung kenaikan kos pelaksanaan projek sedia ada berikutan kenaikan harga bahan binaan serta keutamaan baru seperti pembangunan wilayah koridor dan pengeluaran makanan yang mencukupi untuk negara.

Di samping itu, program penswastaan dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) akan juga digunakan sebagai pelengkap kepada pelaburan awam bagi menyediakan perkhidmatan awam lebih berkualiti. Kerajaan akan mempertingkatkan disiplin fiskal dengan melaksanakan perolehan kerajaan secara tender untuk memastikan "value for money" di samping mengurangkan ketirisan dan pembaziran, serta menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.

Projek pembangunan RMK-9 adalah dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan ekonomi negara. Suka saya menegaskan di sini bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan RMK-9 di kesemua negeri. Projek mesra rakyat yang bertujuan menyediakan kemudahan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan awam kos rendah, membasmi kemiskinan dan keselamatan awam akan diberi keutamaan.

Kesimpulan

Pelbagai usaha sudah kita laksana dan gembleng bersama bagi memastikan kedudukan asas ekonomi negara terus kukuh serta berdaya saing. Rancangan pembangunan bagi tempoh 2006-2010 sedang kita laksanakan, manakala langkah pembaharuan yang diperlukan kita kenal pasti untuk dilaksanakan dalam tempoh akhir RMK-9. Alhamdulillah, sehingga kini, hasil pembangunan berteraskan Misi Nasional ini berjaya meningkatkan lagi taraf hidup rakyat serta membentuk masyarakat yang lebih terbuka dan berwibawa. Saya percaya kita berada pada landasan betul ke arah mencapai Wawasan 2020.

Namun, harus diakui bahawa dalam menempuh tempoh akhir RMK-9 ini, kita berdepan pelbagai cabaran yang akan menduga keupayaan kita untuk meneruskan agenda pembangunan negara. Cabaran terbesar yang kini menghimpit ekonomi negara tentunya adalah kenaikan harga minyak sedunia. Hakikatnya, kenaikan harga minyak ini adalah satu fenomena global yang melanda semua negara, dan disebabkan pelbagai faktor. Antara sebab utama membawa kepada kenaikan harga minyak yang melampau pada waktu ini adalah keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu. Serangan ke atas Iraq oleh Amerika Syarikat pada 2003 melumpuhkan salah sebuah negara pengeluar minyak utama dunia, dan menimbulkan keadaan kacau bilau di rantau Asia Barat yang masih belum reda.

Serangan ke atas Afghanistan sebelum itu turut membawa impak negatif kepada kestabilan harga minyak di pasaran dunia. Paling mutakhir, ancaman Israel untuk menyerang Iran turut menyumbang kepada ketegangan geopolitik yang membawa kepada kenaikan harga minyak. Permintaan yang tinggi oleh negara tertentu seperti China dan India, di samping keengganan negara OPEC untuk menaikkan tahap pengeluaran minyak secara ketara, juga antara penyebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegiatan spekulator pasaran minyak di pusat kewangan antarabangsa seperti New York dan London, yang turut menambah dan menyulitkan ketidaktentuan dalam suasana harga minyak yang semakin meruncing.

Di samping kenaikan harga minyak yang melampau, ekonomi negara turut dihimpit oleh keadaan pasaran kewangan sedunia yang masih belum pulih daripada krisis 'sub-prima'. Malah ramai pakar ekonomi menjangka krisis ini mampu membawa kepada kemelesetan ekonomi sedunia, yang pastinya akan turut mengheret ekonomi negara Malaysia ke dalam suasana gawat. Hakikatnya, negara kini berdepan pelbagai cabaran yang cukup genting, disebabkan faktor luaran yang berada di luar kawalan kita. Untuk mengekalkan keupayaan negara bagi mendepani cabaran yang saya sebut tadi, maka kerajaan perlu berani membuat keputusan serta cekal melakukan perubahan, demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

Ini termasuk keputusan baru-baru ini untuk menyusun semula subsidi minyak dan gas di dalam negara. Kerajaan amat sedar bahawa langkah itu akan meningkatkan beban sara hidup rakyat. Sungguhpun begitu, kerajaan terpaksa bertindak demikian, memandangkan kenaikan harga minyak di pasaran global menyebabkan keadaan kewangan negara semakin terhimpit.

Di samping itu, langkah berkenaan dirasakan perlu agar subsidi yang dimaksudkan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukannya. Selain itu, langkah itu dapat memberi fleksibiliti kepada kewangan negara dalam berhadapan risiko berlakunya kemelesetan ekonomi sedunia dalam waktu terdekat ini. Dalam suasana kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor luaran, amat sukar bagi sesebuah negara seperti Malaysia untuk melindungi rakyatnya secara sepenuhnya daripada impak negatif yang bersifat global. Sungguhpun begitu, kerajaan terus komited untuk melaksanakan segala yang termampu bagi meringankan beban rakyat dan memelihara kualiti hidup yang baik.

Sesungguhnya, seluruh lapisan rakyat harus tabah dan bersatu hati dalam menggembleng tenaga bagi menangani krisis kenaikan harga minyak dan komoditi ini. Ia adalah kemelut yang bakal memberi impak negatif bukan hanya dalam tempoh akhir RMK-9, malah untuk tahun-tahun seterusnya. Usaha kita harus ditentukan ke arah mendepani cabaran ini dan melakukan penyesuaian; bukannya membenarkan pemimpin dan kumpulan tertentu menangguk di air keruh dan mengapi-apikan sentimen rakyat dengan janji palsu, semata-mata untuk merebut kuasa di luar batasan demokrasi dan memenuhi agenda peribadi.

RM4j baiki 218 kenderaan rasmi Melaka

Kerajaan negeri Melaka membelanjakan RM4 juta sejak 2003 hingga kini bagi menyelenggara 218 kenderaan rasmi kerajaan negeri pelbagai jenis dan jumlah itu dianggap terlalu tinggi dan membebankan.
Berikutan itu, kerajaan negeri akan menyewa kenderaan untuk kegunaan rasmi jabatan daripada syarikat, Spanco Sdn Bhd mulai tahun depan sebagai langkah menjimatkan kos penyelenggaraannya. Melalui penyewaan itu, kerajaan akan dapat menjimatkan RM1.4 juta dalam tempoh lima tahun.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata bermula 1 Januari depan, kerajaan negeri akan menggantikan kereta untuk kegunaan exco atau ketua jabatan kerana kerajaan sudah setuju untuk menyewa kenderaan keluaran Nasional daripada syarikat itu.
"Kereta keluaran nasional yang lama akan diambil alih oleh Spanco berdasarkan persetujuan bersama dengan semua nombor pendaftaran kenderaan terbabit masih menjadi hak kerajaan negeri," katanya pagi tadi selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, di Seri Negeri.

Kekebalan Raja-Raja tidak perlu dibincang

Permintaan supaya kekebalan Raja- Raja Melayu dikembalikan bukan isu penting yang perlu dibincangkan segera oleh Jemaah Menteri, memandangkan ia bukan gesaan yang ditimbulkan oleh Majlis Raja- Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ia bukan satu perkara yang penting untuk dibincangkan oleh Jemaah Menteri lebih-lebih lagi permintaan tersebut hanya disuarakan oleh seorang kerabat diraja dan bukannya dibangkitkan atau dipersetujui oleh Majlis Raja- Raja.

Sehubungan itu katanya, permintaan Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar mengenai isu kekebalan itu tidak menjadikan ia dianggap penting untuk dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
''Saya rasa perkara ini dibangkitkan oleh baginda kerana Yang Dipertuan Besar (Tuanku Jaafar) diperintahkan membayar hutang oleh Mahkamah Khas baru-baru ini, jadi baginda ada kepentingan dalam soal ini (pemulihan kekebalan kepada Raja-raja Melayu)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Nazri, beliau tidak mahu membuat ulasan lanjut kerana permintaan Tunku Naquiyuddin itu tidak langsung berkaitan dengan punca insiden 15 tahun lalu, yang menyaksikan kekebalan Raja-raja Melayu dimansuhkan.
''Saya pasti isu ini dibangkitkan kerana Yang Dipertuan Besar diperintah membayar balik RM1 juta kepada bank. Saya rasa ia tidak langsung berkaitan dengan pengembalian kekebalan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan mereka menjadi payung keadilan negara," katanya.

Semalam, Tunku Naquiyuddin bertitah supaya kekebalan daripada tindakan undang-undang dikembalikan kepada kerabat diraja bagi membantu mereka berfungsi dengan berkesan sebagai pelindung Perlembagaan.

UMNO perlu ambil tindakan ahli buat laporan palsu

UMNO perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang membuat laporan palsu mengenai politik wang dalam pemilihan parti peringkat cawangan dan bahagian baru-baru ini.
Perkara ini turut disahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang ditemui berkata, Jawatankuasa Lembaga Disiplin akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini untuk memutuskan bentuk tindakan yang akan diambil.
Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati tiga suku daripada 900 hingga 1,000 laporan yang diterima adalah palsu, sekaligus berniat jahat untuk menjatuhkan individu yang dilaporkan.

"Tindakan akan diambil ke atas mereka yang terlibat. Selepas meneliti semua laporan itu, tiga suku daripada aduan itu adalah tidak benar. "Kepada yang didapati bersalah, Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menentukan hukuman yang sewajarnya," katanya.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menyatakan sebarang laporan berhubung perkara seumpama itu perlu disertakan dengan bukti yang kukuh bagi membolehkan tindakan yang sewajarnya diambil memandangkan ada laporan dibuat berikutan rasa tidak puas hati terhadap pihak tertentu.
"Bila ada pertandingan, banyak cakap pasal politik wang, cakap kerajaan rasuah, kalau ada bukti, laporkan. Beri kami bukti. Dia kalah bukan kerana politik wang, tapi pasal dia tak berkhidmat untuk rakyat," katanya.

Konsep ketuanan rakyat buat bukan Melayu makin berani..

Tindak tanduk kumpulan Melayu tertentu yang memperjuangkan konsep kesamarataan dan ketuanan rakyat telah menyebabkan orang bukan Melayu berani mempertikaikan hak dan ketuanan Melayu.
Perkara ini turut disuarakan Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuang. Dakwa beliau, kumpulan tersebut memperjuangkan konsep tersebut kerana kepentingan politik mereka.

"Inilah yang menjadi punca orang bukan Melayu berani mempertikaikan ketuanan Melayu. Sebenarnya orang Melayu yang menyebabkan perkara ini berlaku. Jadi janganlah mmepertikaikan mengapa orang bukan Melayu berani bersuara sedemikian. Kita sendiri yang memberi ruang kepada mereka atas dasar kesamaratan dan ketuanan rakyat," katanya.
Syukur berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang dilaporkan berkata konsep perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional (BN) mesti diubah.
'Kepimpinan Melayu' Bekas Menteri Kesihatan itu juga dilaporkan berkata slogan 'Ketuanan Melayu', hubungan Tuan dan Hamba, tidak boleh diterima lagi."Kita menerima kepimpinan Melayu, tetapi bukan Ketuanan Melayu," katanya dalam ucapan penerimaan Anugerah Kancil di Petaling Jaya semalam.
Chua berkata: "Bila kita berkata tolak 'Ketuanan Melayu', kita bukannya mencabar hak-hak istimewa orang Melayu. Ianya terkandung dalam perlembagaan kita dan tiada siapa pun boleh mengenetepikan pada masa ini. Menurut Chua lagi, begitu juga dengan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan statusnya dilindungi dalam perlembagaan, dan tiada siapa pun yang boleh mengubahnya.

JAGA KEHARMONIAN

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam, Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pemimpin bukan Melayu tidak perlu bercakap perkara tersebut jika mereka tidak tahu sejarah negara ini.
Katanya, ketuanan Melayu bukan sejarah tetapi merupakan satu realiti dan oleh kerana itu, semua pihak perlu menerimanya.
"Sepatutnya Dr Chua, sebagai seorang pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional (BN), tidak boleh bercakap begitu kerana memberi kesan kepada hubungan dalam parti komponen itu," katanya.

Gagento : Pemimpin bukan Melayu diingatkan supaya jangan menimbulkan isu sedemikian rupa. Orang Melayu diam bukan bermakna mereka lemah atau takut tetapi sebaliknya untuk menjaga keharmonian kaum. Janganlah panaskan air embun yang sejuk. Buruk padahnya.

Wednesday 26 November 2008

Pulihkan kekebalan Raja Melayu

Kekebalan Raja-raja Melayu perlu dikembalikan kepada baginda jika negara ini ingin melihat Raja-raja memainkan peranan yang lebih penting dan berkesan pada Abad ke-21 ini. Pemangku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Tuanku Jaafar bertitah, jika Raja-raja hendak menjalankan tugas secara adil, saksama dan tidak memihak dalam melindungi perlembagaan, kedaulatan mereka juga perlu dilindungi.
"Yang demikian kekebalan penuh daripada dikenakan prosiding sivil dan jenayah perlu dipertimbangkan semula agar monarki di Malaysia setara dengan raja-raja berperlembagaan lain di seluruh dunia," titah baginda dalam Ceramah Jamuan Tengah Hari Diraja berjudul "Peranan Raja Berperlembagaan pada Abad ke-21" di ibu negara hari ini.
Baginda bertitah, kekebalan Raja-raja telah hilang selama 15 tahun dan ia perlu dituntut dan dipulihkan kembali agar Raja berperlembagaan dipulihkan kedaulatan sepenuhnya supaya baginda dapat memainkan peranan lebih tepat dan berkesan selaku pelindung Perlembagaan Persekutuan."Jika parti-parti politik melihat diri mereka sebagai wakil rakyat, maka Raja-raja melihat diri mereka sebagai pelindung perlembagaan," tegas baginda.
Menurut laporan yang dipetik sebagai berkata, dengan kekebalan itu, usaha untuk melindungi kepentingan semua komuniti, memupuk keamanan, kemakmuran, keselamatan ekonomi dan tadbir urus yang baik dapat dipenuhi, tegas Tunku Naquiyuddin.

Baginda bertitah, berhubung pindaan perlembagaan 1993, penghapusan kekebalan Raja-raja adalah perkara serius memandangkan Malaysia mungkin satu-satunya negara yang rajanya tanpa kekebalan seumpama itu.

Fatwa pengkid, yoga

"Kedaulatan dan kekebalan sentiasa saling bergantung dan adalah karut bila seorang raja yang berdaulat boleh dihadapkan ke mahkamah kerana cuba melindungi kepentingan terbaik negara dan rakyat," tegas baginda. Baginda bertitah Raja-raja mestilah juga dilindungi dengan apa carapun dari celaan kewangan agar kedaulatan mereka tidak tercemar dan terjejas.
Sebagai pihak berkuasa tertinggi dalam negara, adalah menjadi kewajipan pentadbiran melindungi integriti dan kemuliaan Raja-raja agar singgahsana dihormati tanpa soal, titah baginda.

"Kesan menyeluruh dari penghapusan kekebalan dan pembentukan mahkamah khas sesungguhnya agak revolusioner, tanpa ada lagi kekebalan, raja-raja boleh disaman oleh warga biasa dan oleh negara," tegas Tunku Naquiyuddin."Jika sabit kesalahan, mereka boleh dipenjara dan jika mereka dipenjara lebih dari sehari, mereka secara automatik akan kehilangan singgahsana," ujar baginda. Baginda bertitah, sebelum ini, Raja-raja Melayu bergantung pada Artikel 71 Perlembagaan yang menjamin hak Raja-raja mempertahan, menikmati dan melaksanakan hak dan keistiwewaan perlembagaan selaku raja sesebuah negeri".

Selaku ketua agama Islam, Raja-raja dalam kebanyakan hal dirundingi tetapi dalam fatwa baru-baru ini mengenai pengkid dan yoga, ujar baginda, baginda tidak pasti sama ada mana-mana anggota diraja dirundingi, sekiranya tidak, baginda meminta Majlis Fatwa berbuat demikian.

Gagento : Daulat TUANKU...hidup MELAYU!!!

Anak lari lepas tertembak ibu

KUALA LUMPUR: Pelik tapi benar....Gara-gara tension akibat pergaduhan ibu bapa dalam rumah, seorang remaja berusia 15 tahun mengamuk menggunakan pistol milik bapanya dan melepaskan tembakan rambang hingga mencederakan ibunya di Bandar Country Homes, Rawang, dekat sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 7 malam itu, remaja lelaki terbabit dikatakan dimarahi bapanya yang juga seorang anggota polis berpangkat sarjan sebelum mengambil pistol jenis Glock yang disimpan dalam almari.
Dalam kekecohan itu, remaja itu melepaskan tembakan di halaman rumah dan mengenai rusuk kanan ibunya yang berusia lingkungan 40-an. Insiden itu tidak berakhir di situ saja kerana remaja itu seolah-olah hilang pertimbangan dan enggan menyerah senjata.

Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian bergegas ke sana bagi melakukan siasatan. Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata ibu remaja itu yang terkena tembakan dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh oleh jirannya.“Dia kini berada dalam keadaan stabil dan menerima rawatan lanjut.
“Ketika kejadian, bapa, ibu dan tiga adik remaja itu berada di rumah berkenaan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi. Remaja itu merupakan anak sulung empat beradik dan baru menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), baru-baru ini.
Beliau berkata, pistol itu turut dilarikan remaja itu dan dia kini ditahan bagi membantu siasatan.

Gagento : Gejala ini amat serius. Pistol milik kerajaan yang dibawa pulang sepatutnya harus dipisahkan dengan peluru. Jika berulang, malang tidak berbau.

Thursday 6 November 2008

Obama Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat

Barack Obama, hari ini memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), sekali gus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama AS dalam tempoh 232 tahun sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Britain.
Obama, 47, yang mewakili Parti Demokrat mengetepikan pencabar kuat daripada Parti Republikan, John McCain dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki White House.

McCain yang bergandingan dengan Gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon Naib Presiden hanya memperoleh 163 undi BPP.
Keputusan pilihan raya di North Carolina (15 undi) dan Missouri (11) kesemuanya melibatkan sebanyak 26 undi BPP masih belum diputuskan.
Jika undi BPP di kedua-dua negeri itu diambil kira, jumlah undi BPP yang bakal diterima oleh Obama dan McCain akan turut meningkat, tetapi tidak akan mengubah kemenangan Obama.
Senator Joe Biden, Senator dari Delaware akan mengiringi Obama sebagai Naib Presiden.
Kemenangan Obama banyak disumbang oleh pengundi wanita, kulit hitam dan mereka yang berketurunan Hispanik, selain pengundi bebas.


Obama turut berjaya ‘merampas’ undi mencukupi daripada pengundi kulit putih yang selama ini banyak memberi sokongan kepada Parti Republikan, untuk membantunya mengetepikan McCain.

Kejayaan Obama bukanlah satu perjalanan yang mudah buat anak kelahiran Hawaii ini, kerana beliau telah menempuh pertarungan sengit sejak hampir 24 bulan lalu, sebelum menempatkan dirinya sebagai lelaki paling berkuasa di dunia pada masa ini.
Bermula dengan perlumbaan sengit dengan bekas wanita pertama AS, Hillary Rodham Clinton bagi merebut tempat sebagai calon Presiden AS mewakili Parti Demokrat, Obama kemudian meneruskan persaingan dengan tokoh politik veteran, McCain yang sehingga saat akhir tidak berputus asa terus berkempen, walaupun tinjauan pengundi di seluruh AS mendapati Obama telah meninggalkan veteran tahanan perang Vietnam itu jauh di belakang.
Kemenangan Obama bukan sahaja disambut gembira oleh seluruh keluarganya, penyokong Parti Demokrat dan rakyat AS, malahan seluruh dunia yang mahu melihat reformasi yang diutarakan oleh Senator Illinois itu akan membawa perubahan termasuk kepada AS, yang kini mengalami kegawatan ekonomi tetapi juga kepada geopolitik dunia.
Obama bukan sahaja menjanjikan pembaharuan dan perubahan bagi rakyatnya, tetapi juga berjanji untuk mengubah imej AS yang kini terjejas teruk di mata dunia akibat tindak-tanduk kerajaan di bawah pentadbiran Presiden George W. Bush selama lapan tahun sejak 2000.
Dalam ucapan sulungnya sejurus selepas diumumkan sebagai pemenang lewat tengah malam tadi di Grant Park, Chicago bandar kediamannya, Obama menyeru seluruh rakyat AS bersatu dan bersedia menyahut cabaran untuk membawa perubahan kepada AS.
Pemimpin-pemimpin dunia turut memberi reaksi atas kemenangan Obama dengan kebanyakan mereka mengucapkan tahniah. Iran memberi reaksi yang berbeza apabila tentera negara itu memberi amaran akan mengambil tindakan keras kepada tentera AS di Iraq kerana menceroboh wilayah Teheran.
Kemenangan Obama disambut begitu meriah dengan pelbagai upacara sambutan diadakan di seluruh AS.

Di pekan Kongelo, Kenya tempat asal usul keluarga sebelah bapa Obama turut meraikan kemenangan Obama itu dengan irama lagu dan tarian.
Di Jakarta, sekolah rendah tempat Obama belajar semasa tinggal di ibu kota Indonesia itu sekitar 1960-an turut meraikan kemenangannya.
Pilihan raya Presiden AS kali ini turut diadakan serentak dengan pilihan raya Senat di 33 negeri dan pilihan raya Dewan Perwakilan di semua 50 negeri dan pilihan raya Gabenor di 11 negeri.
Pada pilihan raya Senat, Parti Demokrat mengukuhkan majoriti di kedua-dua dewan Kongres AS, sekali gus menjadikan lebih mudah untuk Obama melaksanakan agenda pembaharuannya.
Demokrat menambah lima lagi kerusi di Senat dalam pilihan raya semalam, untuk meningkatkan majoriti mereka kepada sekurang-kurangnya 56 kerusi di dewan tertinggi yang mempunyai 100 anggota itu.

Sebanyak 35 daripada 100 kerusi itu dipertandingkan semalam.

10.5 juta pada 6 Bekas Hakim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz hari ini dilapor mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk bekas Ketua Hakim Tun Salleh Abbas.
Beliau memberitahu perkara itu di Dewan Rakyat hari ini bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh.
Jumlah tersebut dibayar oleh kerajaan kepada enam bekas hakim tersebut yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988.
Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.
Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.
Menjelaskan mengapa enam hakim tersebut masih menerima bayaran pension sejak 20 tahun lalu walaupun mereka diberhentikan perkhidmatan, Nazri berkata, mereka tidak dipecat tetapi perkhidmatan mereka ditamatkan lebih lebih awal dari kebiasaannya.
Menurutnya, Salleh menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102, Seah pula menerima RM6,919, Hamzah (RM6,508), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) dan Azmi (RM5,916).
Minggu lalu, Nazri menjadi sasaran ahli Parlimen pembangkang apabila menyatakan yang beliau tidak tahu jumlah sebenar yang dibayar kerajaan kepada bekas hakim-hakim tersebut.

Wednesday 29 October 2008

Ali Rustam : Jangan persoal hak Melayu

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mahu MCA menghentikan desakan kepada kerajaan supaya menghapuskan syarat pemilikan 30 peratus ekuiti Bumiputera dalam syarikat senaraian awam. Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, perkara itu juga sepatutnya tidak perlu dibangkitkan ketika ini kerana boleh mencetuskan lebih banyak pergeseran dan salah faham sesama pemimpin dan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Janganlah persoalkan hak istimewa orang Melayu kerana tiada faedahnya. Lebih baik semua kaum bermuafakat dan saling bantu membantu jika ada masalah," katanya.
"Saya berharap pemimpin parti komponen BN dapat mencadangkan bagaimana untuk menambah serta memperbesarkan kek ekonomi dan bukannya berbincang mengenai kuota yang ada pada kaum lain," katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai kelmarin yang meminta kerajaan memansuhkan pegangan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat senaraian awam.
Gagento : Suara Melayu perlu bersatu padu mendesak pemimpin-pemimpin Cina ini lebih berhati-hati dengan isu melibatkan orang Melayu. Hanya kerana ingin memenangi hati kaum mereka kerana kemerosotan sokongan, nilai persahabatan dan sentimen diketepikan.

Misi Penjenamaan Semula UMNO, Biar Parti Kuasai Kerajaan : Ali Rustam

Calon Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, konsep parti menguasai kerajaan perlu diamalkan semula untuk mengembalikan sokongan ahli UMNO kepada parti itu.
Katanya, ahli-ahli UMNO akar umbi merasa kecewa kerana banyak cadangan dan kehendaknya tidak dilaksanakan oleh parti dan rakyat akhirnya merasakan mereka tidak dapat menentukan dasar kerajaan.

Beliau berkata, mereka menyokong UMNO seperti yang digambarkan melalui slogan, manifesto dan janji tetapi jika itu semua tidak dilaksanakan, ia akan menggugat parti dan BN dalam pilihanraya umum.
Katanya, sistem sekarang sebaliknya ditentukan oleh kerajaan dan UMNO menurut apa yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Keadaan ini telah menyebabkan keyakinan ahli-ahli UMNO kepada parti kurang kerana agenda dan manifesto parti tidak dilaksanakan secara berkesan. "Keputusan parti perlu dilaksanakan dan jika ini dilakukan kita boleh menyelesaikan banyak masalah."Jika Barisan Nasional (BN) ingin meyakinkan semula orang Melayu konsep parti menguasai kerajaan perlu dilihat dengan serius," kata Ketua Menteri Melaka itu, dalam temubual dengan media di ibu negara, Rabu lalu.
Mohd Ali, yang kini merupakan Niab Presiden UMNO, menawarkan jawatan nombor dua dalam pemilihan Mac tahun depan susulan keputusan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO. Daripada kuota 39 pencalonan untuk layak bertanding, beliau mendapat 23 sokongan di belakang seorang lagi Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, tetapi mendahului Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Mohd Taib (17 pencalonan).

Mohd Ali berkata, beliau mahu dasar-dasar yang telah diputuskan oleh UMNO dilaksanakan secara berkesan untuk membantu orang Melayu. Beliau juga mempersoalkan sebab dasar pembangunan untuk membantu orang Melayu tidak dilaksana supaya pemilikan aset orang Melayu mencapai 30 peratus seperti sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) hampir 40 tahun lepas."Kita hanya menguasai 19 peratus sedangkan kita ada kuasa dan keputusan kabinet dan parlimen sudah dibuat. Mengapa tidak dilaksanakan. "Dasar kita semua baik tetapi semua keputusan mesti dilaksanakan. Misalnya orang merungut mengenai peranan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan kelambatan sistem penyampaian."Kalau kita (parti) kata GLC tolong, GLC mesti tolong kerana ini suara parti."

Saya nak beri contoh UDA (Lembaga Pembangunan Bandar), dah berapa kali dalam Perhimpunan Agung kita kata mesti tolong pemilikan tanah orang Melayu dalam bandar."Kita dah bincang dan kita dah buat keputusan tetapi belum buat lagi. Patut bincang sebulan dua sahaja, perhimpunan nak datang lagi belum buat lagi."Siapa yang berkuasa parti atau pegawai atau kerajaan. Bukan kita nak ambil kedudukan pegawai kita, tetapi kita nak dilaksanakan secara berkesan."Buatlah dalam masa munasabah bukannya mengambil masa bertahun-tahun kerana ini boleh hilang kerajaan," katanya lagi.

Gagento : Melihat sudah sampai masanya ahli parti memikirkan bahawa misi 'rebranding' UMNO yang dibawa beliau adalah langkah berkesan transformasi UMNO menjelang PRU akan datang. Maka sebagai rakyat, Gagento tertarik misi beliau.