Sunday, 5 October 2008

BN perlu Berubah - TPM


KOTA KINABALU 4 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) masih relevan sebagai sebuah parti politik untuk memerintah dan membela nasib rakyat di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun berkata, BN pada masa yang sama perlu bersedia untuk berubah sesuai dengan cita rasa dan kehendak rakyat.
Menurut beliau, keputusan pilihan raya lalu adalah isyarat yang paling jelas untuk menyedarkan semua peringkat kepimpinan BN bahawa perikatan itu perlu melakukan perubahan.
"Sekiranya kita tidak berani dan tidak mempunyai apa-apa perancangan untuk berubah sesuai dengan kehendak dan cita rasa rakyat, jangan pula nanti rakyat akan mengubah kita," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Timbalan Perdana Menteri di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.
Najib berkata, dalam membuat perubahan itu, suatu yang perlu diambil perhatian ialah ia mesti ke arah yang lebih baik berbanding sebelumnya.
Katanya lagi, BN bukan sahaja perlu membuat perubahan, malah dalam mengetuai sesuatu perubahan itu ia harus bertindak secara lebih proaktif serta peka dengan sebarang perkembangan sekeliling.
Menyentuh mengenai hubungan antara anggota komponen BN, Timbalan Perdana Menteri menegur pemimpin parti yang cuba menjadi jaguh di kalangan ahli parti sendiri dengan memainkan sentimen kaum sehingga menyakiti perasaan ahli parti lain.
"Kita tidak boleh menjadi jaguh dalam kelompok kita semata-mata kerana mahu menjadi popular dalam parti sendiri, tetapi pada masa yang sama menyakiti hati rakan-rakan komponen BN lain.
"Politik seperti ini merosakkan hubungan sesama sendiri di dalam BN dan kita tidak boleh tonjolkan budaya seperti ini kerana BN adalah parti yang mewakili semua rakyat," katanya.
Beliau menegaskan, kepimpinan BN tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menimbulkan suasana tidak baik di dalam gabungan itu.
"Kalau dilakukan juga, kita boleh tegur tetapi kalau keterlaluan kita akan ambil tindakan kerana mana-mana individu tiada yang lebih penting daripada parti BN itu sendiri," ujar beliau.
Sementara itu, ketika ditanya pada sidang akhbar mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang menawarkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO, Najib berkata, masih terlalu awal baginya untuk mengulas isu itu.
Menyentuh soal cadangan menggubal Akta Hubungan Kaum, Timbalan Perdana Menteri berkata, akta itu mungkin tidak perlu diwujudkan di Sabah kerana sudah wujudnya sikap keterbukaan yang ketara antara rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri itu.
Katanya, sikap keterbukaan yang sedia ada itu membolehkan rakyat Sabah menjadi lebih akrab dan bermuafakat.
"Semangat keterbukaan, semangat intim antara kaum dan agama paling baik sekali di Sabah. Kehidupan di negeri ini di mana semangat muafakat begitu kuat menyebabkan rakyat di sini boleh menerima unsur-unsur kelompok lain dengan amat terbuka sekali.
"Kalau kita menanam nilai-nilai ini dalam sanubari kita, mungkin kita tidak perlu undang-undang perkauman," katanya.

No comments: