Friday 24 October 2008

GPMS sokong saranan Sultan Azlan Shah

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyokong dan bersetuju dengan cadangan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah supaya pelajaran mengenai kontrak sosial diperkenalkan di institusi-institusi pendidikan di negara ini.
Presidennya, Datuk Reezal Merican Naina Merican berkata, cadangan Sultan Azlan wajar dilaksanakan segera kerana apresiasi dan gerak rasa sejarah (sense of history) amat penting untuk melahirkan sebuah bangsa yang berjaya.
Beliau berkata, fakta sejarah tidak boleh diubah-ubah mengikut kehendak dan kemahuan sendiri serta diangkat secara songsang untuk mencapai maksud yang sempit dan kecil.
''Peristiwa yang berlaku kebelakangan ini wajar memberikan kita iktibar bahawa wujud segelintir individu yang sanggup menyongsangkan fakta sejarah untuk mencapai kepentingan peribadi yang dangkal," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Cawangan Ayer Keroh hari ini menyokong penuh keputusan Majlis Raja-Raja Melayu yang meminta semua pihak tidak mempertikaikan dan mempersoalkan kontrak sosial apatah lagi menyemak semula atau mengubahnya kerana ia menjadi asas utama pembentukan negara ini.

Yang Dipertuanya, Mohd Marwan Abu Kasim berkata, kaum bukan Melayu di negara ini diminta menerima penjelasan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Raja-Raja berhubung dengan kekeliruan rakyat berkenaan Kontrak Sosial agar dapat mewujudkan suatu suasana yang hormat menghormati di kalangan rakyat serta terus mewujudkan kestabilan ekonomi dan sosial untuk terus hidup dalam suasana yang harmoni. Katanya, kaum-kaum lain di negara tidak perlu bimbang tentang kedudukan mereka kerana hak sah mereka dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagan Persekutuan, katanya selepas Mesyuarat Agong GPMS Cawangan Ayer Keroh.

”Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara ini telah menimbulkan kegusaran dan kegelisahan di kalangan rakyat. Oleh kerana itu, telah berlaku tindak balas terutama di kalangan pemimpin-pemimpin melayu, sama ada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak-pihak yang membuat kenyataan dan laporan serta menganjurkan forum-forum berkenaan," katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang-orang melayu supaya bersatu padu untuk mepertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum lain di Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4 comments:

Anonymous said...

hidup gpms!teruskan perjuangan.

Anonymous said...

Percaya la bahawa ada 4 sedar dalam gpms....berguru pls...

wangagento said...

TQ AKAN DENGAR NASIHAT

Anonymous said...

Beginilah anak melayu yang patut sedar arah tuju membela anak bangsa. Apa kata mata pelajaran sejarah diwajibkan dan subjek perlembagaan diberi penekanan khusnya bagaimana ia terbentuk hasil dari kontrak sosial.