Friday 28 November 2008

Kekebalan Raja-Raja tidak perlu dibincang

Permintaan supaya kekebalan Raja- Raja Melayu dikembalikan bukan isu penting yang perlu dibincangkan segera oleh Jemaah Menteri, memandangkan ia bukan gesaan yang ditimbulkan oleh Majlis Raja- Raja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, ia bukan satu perkara yang penting untuk dibincangkan oleh Jemaah Menteri lebih-lebih lagi permintaan tersebut hanya disuarakan oleh seorang kerabat diraja dan bukannya dibangkitkan atau dipersetujui oleh Majlis Raja- Raja.

Sehubungan itu katanya, permintaan Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar mengenai isu kekebalan itu tidak menjadikan ia dianggap penting untuk dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
''Saya rasa perkara ini dibangkitkan oleh baginda kerana Yang Dipertuan Besar (Tuanku Jaafar) diperintahkan membayar hutang oleh Mahkamah Khas baru-baru ini, jadi baginda ada kepentingan dalam soal ini (pemulihan kekebalan kepada Raja-raja Melayu)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Menurut Nazri, beliau tidak mahu membuat ulasan lanjut kerana permintaan Tunku Naquiyuddin itu tidak langsung berkaitan dengan punca insiden 15 tahun lalu, yang menyaksikan kekebalan Raja-raja Melayu dimansuhkan.
''Saya pasti isu ini dibangkitkan kerana Yang Dipertuan Besar diperintah membayar balik RM1 juta kepada bank. Saya rasa ia tidak langsung berkaitan dengan pengembalian kekebalan Raja-Raja Melayu bagi membolehkan mereka menjadi payung keadilan negara," katanya.

Semalam, Tunku Naquiyuddin bertitah supaya kekebalan daripada tindakan undang-undang dikembalikan kepada kerabat diraja bagi membantu mereka berfungsi dengan berkesan sebagai pelindung Perlembagaan.

2 comments:

Anonymous said...

toksah la gaduh bab nie.

Hal raja kita daulatkan. Itu ajek.

Anonymous said...

Tuan ;

Satu lagi hal nye, ada baik jugak en. gagento me'highlight'kan isu ketuanan melayu.atikel berkait dengan orang melayu perlu tuan bahas...ulas...

Kuasa politik melayu dan perbalahan melayu masa pilihanraya sebenarnya merugikan bangsa melayu.