Friday 28 November 2008

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9)

Berkat kesungguhan dan kegigihan segenap lapisan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kita bukan saja berupaya mengekalkan kestabilan negara serta pertumbuhan ekonomi menggalakkan, malah dapat terus meningkatkan daya saing negara. Kejayaan ini jelas terserlah melalui pelbagai pencapaian yang berjaya kita peroleh dalam tempoh masa dua tahun lalu.

Antara lainnya, kita berjaya:

  • Mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada kadar membanggakan, iaitu sebanyak 6.1 peratus setahun;
  • Menaiktaraf kualiti hidup rakyat melalui peningkatan pendapatan perkapita daripada RM18,840 pada 2005 kepada RM23,066 pada 2007;
  • Mengurus perbelanjaan kerajaan secara berhemah, dengan pengurangan defisit fiskal negara daripada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2005 kepada 3.2 peratus pada 2007;
  • Meneroka sumber pertumbuhan baru dan meningkatkan produktiviti pekerja;
  • Meningkatkan kualiti dan akses kepada sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara;
  • Mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007, manakala kemiskinan tegar pula menyusut daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus pada 2007;
  • Mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar;
  • Melahirkan hampir 68,000 orang usahawan baru, di samping melatih seramai lebih 120,000 usahawan melalui pelbagai program pembangunan usahawan;
  • Memastikan akses lebih baik kepada penjagaan kesihatan, kemudahan perumahan, memperluas jaringan jalan raya ke kawasan luar bandar, menyediakan pengangkutan awam lebih baik dan meningkatkan keselamatan jalan raya; dan
  • Meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam, termasuk menggantikan Certificate of Fitness for Occupation (CFO) yang dikeluarkan oleh kerajaan tempatan dengan Certificate of Completion and Compliance (CCC) serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

Jelaslah kepada kita bahawa pencapaian dalam tempoh pelaksanaan RMK-9 setakat ini bukan hanya terbatas kepada perancangan mahupun retorik semata-mata, tetapi terjelma dalam pencapaian yang hakiki. Justeru, pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-9 ini amat penting bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan negara, apatah lagi dalam suasana ekonomi semasa yang amat mencabar.

Sekiranya tidak ditangani secara wajar, kenaikan harga minyak dan komoditi yang mendadak, serta kemelut dalam pasaran kewangan sedunia yang masih berlanjutan, mampu menjejaskan usaha kita untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan mapan. Oleh itu, salah satu objektif utama bagi fasa kedua dalam pelaksanaan RMK-9 adalah untuk memastikan agar mutu hidup rakyat tetap terpelihara. Program peningkatan pendapatan serta jaringan keselamatan sosial akan terus dilaksana dan diperkasa. Pada masa sama, Kajian Separuh Penggal ini juga tidak melupakan keperluan untuk terus meningkatkan kapasiti dan daya saing negara. Pembinaan infrastruktur, pembangunan modal insan, dan perkembangan sektor pertumbuhan baru akan terus dipacu, dengan mengambil kira keperluan jangka panjang pembangunan negara.

Bagi memastikan agar Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan positif, agenda pembangunan negara akan terus direncana berdasarkan lima Teras Utama Misi Nasional, iaitu:

  1. Pertama: Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;
  2. Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk “minda kelas pertama;
  3. Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif; Keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

Perspektif Ekonomi Makro Prestasi 2006-2007

Dalam tempoh 2006-2007, KDNK sebenar negara berkembang sebanyak 6.1 peratus setahun, melebihi sasaran 6.0 peratus. Pendapatan perkapita rakyat meningkat sebanyak 10.6 peratus setahun kepada RM23,066. Pendapatan perkapita berdasarkan pariti kuasa beli meningkat lebih tinggi sebanyak 14.2 peratus kepada RM46,478 pada 2007.

Pertumbuhan ini dicapai dalam suasana harga yang stabil. Kadar pengangguran pula berada pada tahap 3.3 peratus pada 2007, mencerminkan paras guna tenaga yang penuh. Perdagangan luar terus mencatatkan kemajuan, dengan jumlah dagangan negara kini mencapai tahap purata hampir RM100 bilion sebulan. Rizab luar bersih juga meningkat kepada RM335.7 bilion, cukup bagi membiayai keperluan import tertangguh negara selama 8.4 bulan. Kemajuan ekonomi yang membanggakan ini tercapai dalam suasana kerajaan terus mengamalkan dasar fiskal berhemat.

Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat ini diterajui sektor swasta, dengan pertumbuhan pelaburan swasta pada kadar 8.6 peratus setahun. Aliran masuk bersih pelaburan asing langsung (FDI) juga meningkat sebanyak 39.3 peratus setahun kepada RM29.1 bilion pada 2007. Pelaburan awam turut meningkat sebanyak 8.9 peratus setahun berikutan pelaksanaan pesat projek pembangunan RMK-9.

Sektor perkhidmatan adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, dengan peningkatan pada kadar 8.5 peratus setahun. Pertumbuhan ini diterajui subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan. Di samping itu, sumbangan sektor perkhidmatan diperkukuhkan lagi oleh perkembangan ketara dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran, serta subsektor pengangkutan yang dibantu oleh kejayaan gemilang Program Tahun Melawat Malaysia 2007.

Sektor pembuatan mengalami pertumbuhan sederhana sebanyak 5.1 peratus setahun ekoran kelembapan permintaan global bagi keluaran elektronik serta permintaan dalam negeri yang rendah bagi kenderaan pengangkutan.

Sektor pertanian pula mencatat pertumbuhan sederhana, iaitu pada kadar purata 3.8 peratus setahun. Ini berikutan bencana banjir yang berlaku pada akhir 2006 dan awal 2007, yang mempengaruhi prestasi dan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara. Bagaimanapun, sektor pembinaan sudah kembali pulih dan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan projek pembangunan di bawah RMK-9.

Prospek, 2008-2010

Bagi tempoh akhir RMK-9, kerajaan akan terus melaksanakan pengurusan ekonomi makro yang berhemah bagi memastikan asas ekonomi terus kukuh. Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia yang sederhana, sebanyak 4.1 peratus setahun bagi tempoh 2008-2010, ekonomi Malaysia dijangka mampu berkembang secara purata 6.0 peratus setahun. Pertumbuhan ini dijangka akan disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negara, terutama permintaan yang masih kukuh di kalangan negara rantau Asia, khususnya China dan India. Permintaan swasta dijangka terus menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi, dengan pelaburan swasta dijangka berkembang sebanyak 10.6 peratus, dan jumlah pelaburan pada harga semasa dianggar mencapai RM305.8 bilion bagi tempoh 2008-2010.

Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi. Khususnya, sektor perkhidmatan dijangka mencatat perkembangan sebanyak 7.9 peratus setahun, yang diterajui subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

Sektor pembuatan pula dijangka mencatat pertumbuhan lebih perlahan pada kadar 3.0 peratus setahun berikutan kelembapan permintaan global berterusan terhadap keluaran elektrik dan elektronik. Namun, industri pembuatan bagi pasaran domestik dijangka akan berkembang pesat, terutama industri berkaitan pembinaan.

Sektor pertanian juga akan terus diberi penekanan, terutama subsektor tanaman makanan bagi menyokong Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara. Sektor ini dijangka berkembang pada kadar 4.1 peratus setahun. Sektor pembinaan pula dijangka terus mencatat pertumbuhan kukuh dengan kadar purata 5.8 peratus setahun. Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan ke arah mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan. Sehubungan ini, langkah akan diambil untuk meluaskan asas hasil bagi meningkatkan pendapatan negara.

Kualiti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam akan dipertingkat, manakala bantuan kepada golongan miskin dan yang memerlukan akan diteruskan. Melalui langkah pengukuhan kedudukan kewangan, kerajaan menjangka akan dapat mengekalkan defisit fiskal pada tahap 3.2 peratus daripada KDNK pada 2010, sekali gus memastikan agar kewangan negara terus diurus secara berhemah dan fleksibel bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan, termasuk risiko kemelesetan ekonomi pada masa hadapan.

Teras 1: Meningkatkan nilai ditambah dalam ekonomi negara.

Teras pertama Misi Nasional iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, adalah prasyarat untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia ke arah kelas ekonomi berpendapatan tinggi. Tiga strategi utama yang perlu bagi mencapai tujuan ini adalah:

  • Pertama: Meningkatkan produktiviti dan daya saing negara;
  • Kedua: Menjana sumber pertumbuhan baru; dan
  • Ketiga: Mengembangkan pasaran bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia.

Meningkatkan Produktiviti dan Daya Saing

Kerajaan menyedari kepentingan daya inovasi dalam memacu pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara. Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan dana sewajarnya bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R & D), serta pengkomersialan teknologi. Dalam pada itu, kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam penyelidikan yang didorong pasaran akan terus dipertingkatkan.

Kerajaan juga berhasrat untuk menggalakkan lagi pembabitan sektor swasta dalam perkembangan sektor pertumbuhan baru. Ini termasuklah bidang kewangan Islam dan takaful, pembuatan berteknologi tinggi, pelancongan kesihatan, pengajian tinggi dan pertanian berskala besar. Perkembangan bidang pertumbuhan baru itu perlu dipacu dengan penyediaan insentif bersesuaian, termasuklah kemudahan pinjaman. Antara lain, kerajaan berhasrat meningkatkan lagi pertumbuhan industri modal teroka. Institusi kewangan pembangunan, firma ekuiti persendirian dan syarikat modal teroka akan digalakkan untuk menawar terma dan syarat lebih menarik, di samping memberi sokongan bina upaya kepada syarikat yang menerima pelaburan.

Selain itu, rangka kerja perundangan yang berkesan adalah kritikal bagi mewujudkan persekitaran pasaran yang kondusif. Sehubungan itu, perundangan amalan perdagangan adil akan diperkenalkan. Bagi meningkatkan perlindungan untuk harta intelek, lebih banyak mahkamah harta intelek akan ditubuhkan, manakala keupayaan pengamal harta intelek akan dipertingkatkan. Infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi adalah satu keperluan utama bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sehubungan itu, peluasan infrastruktur jalur lebar akan dipertingkatkan menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi mencapai sasaran kadar penembusan jalur lebar setinggi 50 peratus isi rumah menjelang 2010.

Pembangunan sektor tenaga yang mapan juga perlu bagi memastikan bekalan tenaga terjamin dalam jangka panjang. Inisiatif kecekapan tenaga akan dipergiatkan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang produktif dan berhemat. Kerajaan juga akan mempergiatkan aktiviti R & D dalam bidang tenaga boleh diperbaharui yang mesra alam dan menjimatkan kos, ke arah menjamin keselamatan tenaga.

Untuk tujuan ini dan mengambil kira sumber hidro-karbon di negara yang terhad dan semakin menyusut, kerajaan akan merangka sebuah Dasar Tenaga Nasional untuk menjamin keperluan negara dapat dipenuhi dalam jangka masa pendek dan panjang.

Menjana Sumber Pertumbuhan Baru

Bagi meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, bidang keutamaan sudah dikenal pasti bagi memastikan perancangan bersepadu serta pelaksanaan tersusun. Dalam sektor perkhidmatan, kerjasama sektor awam dan swasta akan dipergiatkan untuk mengambil peluang daripada peningkatan permintaan pasaran serantau terhadap pengajian tinggi, pelancongan kesihatan, dan lain-lain perkhidmatan. Pembangunan perkhidmatan kewangan Islam, khususnya takaful, akan terus digalakkan. Antara lain, inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan dipergiatkan bagi meletakkan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Bagi memanfaatkan potensi bioteknologi sebagai sumber pertumbuhan baru dan penjana kekayaan, syarikat bioteknologi akan diberi sokongan dan galakan. Aplikasi bioteknologi dalam pertanian, penjagaan kesihatan dan penggunaan industri akan diperluaskan melalui pemerolehan teknologi, penggalakan R & D dan pemakaian amalan makmal terbaik. Pembangunan sumber pertumbuhan baru dalam bidang pertanian akan turut digalakkan. Tumpuan akan diberikan kepada pelbagai bidang berpotensi tinggi, termasuk penanaman kenaf, perikanan laut dalam, penternakan ikan hiasan dan lain-lain.

Pembangunan industri halal akan diterajui Perbadanan Pembangunan Industri Halal dengan berpandukan Pelan Induk Pembangunan Industri Halal. Untuk memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab multimedia dan ICT, penekanan akan diberikan kepada bidang berpotensi tinggi, termasuk perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar, pembangunan kandungan multimedia dan teknologi analisis ramalan. Mengembangkan Pasaran bagi Barangan dan Perkhidmatan Malaysia Peluasan pasaran adalah perlu bagi meningkatkan daya saing negara. Sehubungan itu, barangan dan perkhidmatan Malaysia akan dipromosikan secara lebih intensif ke pasaran baru, termasuk di Afrika, Asia Barat dan Selatan serta negara Kesatuan Eropah (EU) dan Asean. Misi perdagangan akan ditambah dan rangkaian pasaran baru akan diperkukuhkan lagi.

Sistem maklumat pemasaran di pelbagai agensi seperti Matrade, Fama dan MDeC akan dinaik taraf dan disepadukan bagi memudahkan usaha import dan eksport. Program membina imej Malaysia dan produk jenama Malaysia akan terus dipergiatkan. Di samping itu, peraturan pengiktirafan bersama, perjanjian perdagangan bebas dan peraturan pelbagai hala akan terus dirundingkan bagi memudahkan kemasukan barangan dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran baru. Pakatan strategik dan usaha sama dengan syarikat antarabangsa ternama akan dipertingkatkan bagi memperluaskan rangkaian pasaran bagi barangan dan perkhidmatan berasaskan pertanian, pembuatan dan ICT. Pensijilan halal Malaysia akan terus dipromosikan sebagai piawaian halal bertaraf global.

Teras 2: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama' Dalam teras kedua Misi Nasional, usaha melahirkan modal insan berkualiti yang berpengetahuan, berinovasi dan memiliki nilai positif akan terus diberi keutamaan. Objektif ini akan dicapai melalui pelaksanaan lima strategi utama:

  • Pertama: Memperkukuh program pendidikan dan latihan;
  • Kedua: Menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan;
  • Ketiga: Membina institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa;
  • Keempat: Menggalakkan R & D dan meningkatkan daya inovasi; dan
  • Kelima: Memupuk nilai moral dan etika yang kukuh.

Memperkukuh Program Pendidikan dan Latihan

Pendidikan terus diberi penekanan utama dalam rancangan pembangunan kerajaan. Antara lain, perhatian akan diberikan kepada pendidikan di kawasan luar bandar bagi mengurangkan jurang yang masih luas dalam pencapaian akademik antara pelajar sekolah luar bandar dengan bandar. Sehubungan itu, sebanyak RM13.5 bilion akan diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur sekolah, menyediakan kemudahan ICT serta menggalakkan lebih ramai guru berpengalaman berkhidmat di kawasan luar bandar.

Perhatian khusus akan diberikan kepada sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak. Di samping itu, sekolah jenis kebangsaan aliran Cina dan Tamil akan terus dibantu dan dipertingkatkan. Pendidikan pra-sekolah juga akan diberi perhatian. Untuk memastikan mutu pengajaran, kerajaan akan menyeragamkan kurikulum pra-sekolah, agar semua murid dapat membaca dan mengira sebelum memulakan pendidikan formal di peringkat sekolah rendah. Kerajaan akan turut memberi tumpuan bagi meningkatkan akses kepada pengajian tinggi.

Enrolmen di institusi pendidikan tinggi awam akan bertambah apabila kampus tetap bagi tiga universiti baru iaitu Universiti Darul Iman Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia siap dibina. Di samping itu, pelaksanaan program francais UiTM akan meningkatkan enrolmen pelajar UiTM ke arah mencapai sasaran 200,000 pelajar menjelang 2010. Institusi teknikal dan vokasional pula akan terus diperkasa melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kemahiran dan Latihan. Enrolmen pelajar dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan ditingkatkan menerusi penggunaan kapasiti sedia ada, pembiayaan pelajar di institusi latihan swasta serta peruntukan tambahan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Bagi membantu pelajar tercicir, pembinaan pusat Giat Mara baru akan dipercepatkan, dengan 80 peratus pengambilan akan dikhaskan untuk kumpulan pelajar tercicir. Di samping itu, pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional yang menekankan latihan praktikal di industri akan dibuka kepada kumpulan pelajar tercicir. Bagi menggalakkan proses pembelajaran secara berterusan, penyertaan dalam program pembelajaran sepanjang hayat akan ditingkatkan dengan melaksanakan proses kemasukan lebih fleksibel serta mengambil kira pengalaman kerja. Bagi meningkatkan penyertaan industri, pengecualian cukai akan diberi ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan bagi melatih pekerja mereka di kolej komuniti pada peringkat diploma. Bantuan kewangan dalam bentuk elaun bulanan dan yuran pengajian juga akan dipertimbangkan bagi pelajar di kolej komuniti.

Menjadikan Sekolah Kebangsaan Sebagai Sekolah Pilihan

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua kaum, pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan kemudahan pengajaran di sekolah terbabit. Antara lain, pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan akan dipertingkatkan lagi.

Membina Institusi Pengajian Tinggi Bertaraf Antarabangsa

Sebuah sistem penarafan akan dilaksanakan bagi tujuan menilai kualiti dan daya saing di kalangan institusi pengajian tinggi awam. Bagi meningkatkan pengiktirafan antarabangsa, lebih ramai pakar dari universiti luar negara, industri dan badan profesional akan dilantik sebagai panel penilai program akademik yang ditawarkan di IPTA dan IPTS. Sebuah Institut Penyelidikan Malaysia akan ditubuhkan bagi meningkatkan kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dengan universiti terkemuka dunia.

Menggalakkan R & D Dan Meningkatkan Daya Inovasi

Sains dan teknologi adalah penting untuk pembangunan negara. Oleh itu, pelbagai langkah akan terus diambil bagi menambah baik infrastruktur dan sistem inovasi negara. Bagi meningkatkan bilangan penyelidik dan pereka cipta pada masa depan, lebih banyak biasiswa disediakan bagi peringkat pengajian lepasan ijazah untuk mencapai sasaran 50 orang penyelidik dan jurutera bagi setiap 10,000 orang pekerja. Sektor swasta juga akan digalakkan untuk turut menyumbang melalui penyediaan biasiswa serta bantuan kewangan bagi R&D dan pengkomersialan teknologi.

Memupuk Nilai Moral dan Etika yang Kukuh

Hasrat untuk melahirkan modal insan dengan 'minda kelas pertama' menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh. Usaha ini akan terus dipertingkatkan melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional serta penerapan prinsip Islam Hadhari. Di samping itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedang disusun semula sebagai sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, di samping ditambah kapasitinya bagi meningkatkan keberkesanannya dalam membasmi aktiviti rasuah.

Teras 3: Menangani ketidaksamaan sosioekonomi berterusan

Teras ketiga Misi Nasional menegaskan semula falsafah 'pertumbuhan dengan pengagihan' bagi menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang masih wujud di antara kumpulan etnik, wilayah dan bandar serta luar bandar. Kesan pertumbuhan ekonomi serta langkah kerajaan memperbaiki ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif berjaya mewujudkan suasana pembangunan ke arah 'pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama' serta mendorong peningkatan dan pengagihan saksama peluang bermutu untuk semua rakyat Malaysia.

Bagi meneruskan agenda kesaksamaan ini, enam strategi utama akan dilaksanakan:

  • Pertama: Membasmi kemiskinan;
  • Kedua: Menambah baik pengagihan pendapatan;
  • Ketiga: Menyusun semula hak milik;
  • Keempat: Menyusun semula guna tenaga;
  • Kelima: Mencapai keseimbangan wilayah; dan
  • Keenam: Membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Membasmi Kemiskinan

Kemiskinan mutlak di Malaysia terus berkurangan. Insiden kemiskinan keseluruhan di kalangan rakyat Malaysia menyusut secara berterusan, daripada 5.7 peratus pada 2004 kepada 3.6 peratus pada 2007. Jumlah isi rumah miskin juga berkurangan sebanyak 33 peratus daripada 311,300 kepada 209,000 dalam tempoh sama. Pengurangan insiden dan bilangan isi rumah miskin ini adalah hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang mantap serta pelaksanaan pelbagai program dan projek pembasmian kemiskinan.

Pengurangan kemiskinan turut berlaku di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. Insiden kemiskinan bandar berkurangan daripada 2.5 peratus pada 2004 kepada 2.0 peratus pada 2007; sementara bagi kawasan luar bandar, insidennya menurun dengan ketara daripada 11.9 peratus kepada 7.1 peratus. Kejayaan usaha pembasmian kemiskinan jelas terbukti, termasuk di Sabah dan Sarawak. Insiden kemiskinan di Sabah berkurangan daripada 23.0 peratus pada 2004 kepada 16.0 peratus pada 2007; manakala di Sarawak, insiden kemiskinan menurun daripada 7.5 peratus pada 2004 kepada 4.2 peratus pada 2007.

Lebih membanggakan lagi, kemiskinan tegar kini berkurangan daripada 1.2 peratus pada 2004 kepada 0.7 peratus pada 2007. Bilangan isi rumah miskin tegar berkurangan sebanyak 43 peratus, iaitu daripada 67,300 kepada 38,400 dalam tempoh sama. Berasaskan prestasi ini, kerajaan yakin sasaran RMK-9 untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 akan dapat dicapai. Dalam tempoh akhir RMK-9, usaha pembasmian kemiskinan akan terus diperkasa. Pembentukan mekanisme pemantauan dan penilaian lebih tersusun di pelbagai peringkat pentadbiran meliputi negeri dan daerah akan dilaksanakan.

Usaha ini akan diterajui oleh ‘Focus Group Mengenai Kemiskinan’ yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara. Usaha pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar akan berpaksi kepada penyediaan infrastruktur asas, penjanaan pendapatan dan pembangunan modal insan. Projek Agropolitan yang membabitkan pembangunan tanah bersepadu untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin di kawasan luar bandar terus dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak. Bagi golongan miskin di kawasan bandar, program penjanaan pendapatan dan penyediaan keperluan asas perumahan serta kemudahan sosial lebih baik akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup. Antara lain, skim Jaringan Keselamatan Sosial yang dilancarkan pada 1990 akan terus diperkukuh dan diperluaskan dengan pelbagai bantuan. Di antara bantuan diberikan adalah bantuan kepada kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya, pesakit kronik dan bantuan anggota palsu. Program ini adalah tambahan kepada dasar sedia ada seperti pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang ada secara murah dan percuma.

Program pembasmian kemiskinan untuk kumpulan minoriti serta golongan miskin tidak produktif akan dirancang dengan mengambil kira perbezaan keperluan dan tahap pembangunan mereka. Program pembangunan tanah dan usaha mengurangkan kadar keciciran di kalangan Orang Asli akan dimantapkan. Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan taraf hidup termasuk penyediaan akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas bagi kumpulan minoriti di pedalaman Sabah dan Sarawak.

Menambah Baik Pengagihan Pendapatan

Pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia terus mencatat peningkatan iaitu daripada RM3,249 pada 2004 kepada RM3,686 pada 2007. Peningkatan ini adalah hasil pertumbuhan ekonomi yang positif, lantas menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan di kalangan semua rakyat Malaysia. Semua kumpulan etnik mencatatkan peningkatan pendapatan isi rumah dalam tempoh sama. Pada 2007, pendapatan isi rumah purata kaum Bumiputera meningkat sebanyak 5.2 peratus setahun kepada RM3,156 sebulan, manakala isi rumah kaum Cina meningkat pada kadar 3.0 peratus setahun kepada RM4,853 dan isi rumah India pada kadar 3.2 peratus kepada RM3,799.

Hasil peningkatan pendapatan isi rumah luar bandar yang lebih tinggi, nisbah ketidaksamaan pendapatan purata antara luar bandar dengan bandar bertambah baik iaitu daripada 1:2.11 pada 2004 kepada 1:1.91 pada 2007, melepasi sasaran RMK-9 iaitu 1:2.0 menjelang 2010. Ketidaksamaan pendapatan purata antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina terus bertambah baik dengan nisbahnya mengecil daripada 1:1.64 pada 2004 kepada 1:1.54 pada 2007. Ketidaksamaan antara kaum Bumiputera dengan kaum India juga bertambah baik dengan nisbahnya menyusut daripada 1:1.27 kepada 1:1.20 dalam tempoh yang sama. Untuk meneruskan usaha merapatkan jurang pendapatan, penekanan akan diberikan kepada pembinaan modal insan melalui peningkatan kemahiran dan penerapan nilai positif. Tumpuan akan diberikan bagi meningkatkan bahagian pendapatan di kalangan isi rumah 40 peratus terendah bagi membentuk kumpulan berpendapatan pertengahan yang lebih besar dan makmur.

Menyusun Semula Hak Milik

Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat meningkat daripada 18.9 peratus pada 2004 kepada 19.4 peratus pada 2006. Bagi meneruskan pencapaian ini ke arah merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan Bumiputera menjelang 2020, beberapa langkah akan dilaksanakan:

  • Pertama: Penekanan yang lebih akan diberi bagi memastikan Bumiputera mempunyai kawalan kepentingan dalam syarikat swasta. Golongan Bumiputera akan digalakkan untuk melabur dalam sektor pertumbuhan baru seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi, fotonik, nanoteknologi, pembuatan termaju dan kejuruteraan kepersisan.
  • Kedua: Peranan institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji akan diperkasakan.
  • Ketiga: Graduan Bumiputera yang berbakat dan mempunyai idea kreatif dan inovatif akan diberi modal bagi mengkomersialkan idea mereka.
  • Keempat: Sebuah pangkalan data akan dibina bagi tujuan memantau prestasi golongan Bumiputera dalam sektor korporat.

Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti di kalangan golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, usaha seperti skim unit amanah, pembangunan keusahawanan dan latihan kemahiran akan diberi penekanan lebih serius. Bagi meningkatkan pemilikan aset bukan kewangan di kalangan kumpulan Bumiputera di Sarawak, tanah pribumi dan adat akan terus dibangunkan bagi tujuan komersial. Pemilikan ekuiti sektor korporat juga sudah meningkat bagi golongan bukan Bumiputera, daripada 40.6 peratus pada 2004 kepada 43.9 peratus pada 2006. Walaupun peratusan pemilikan etnik India menurun sedikit daripada 1.2 peratus kepada 1.1 peratus, dari segi nilai mutlak, tahap pemilikan etnik India meningkat sebanyak RM575.2 juta atau sembilan peratus dalam tempoh berkenaan. Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di kalangan etnik India kepada 1.5 peratus menjelang 2010, usaha terus dijalankan bagi meningkatkan akses kepada program latihan kemahiran dan keusahawanan. Di samping itu, bantuan juga akan diberikan kepada kaum India untuk meningkatkan pemilikan ekuiti melalui skim unit amanah.

Menyusun Semula Guna Tenaga

Usaha menyusun semula guna tenaga akan diteruskan melalui program pendidikan, latihan kemahiran serta pembangunan keusahawanan. Langkah akan terus diambil bagi menggalakkan pengambilan lebih ramai daripada golongan Bumiputera, komuniti India dan kumpulan minoriti di peringkat pengurusan dan profesional dalam sektor swasta. Di samping itu, lebih ramai kaum bukan Bumiputera akan digalakkan untuk bekerja dalam sektor awam.

Mencapai Keseimbangan Wilayah

Dalam pada itu, pembangunan koridor pertumbuhan diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mengagihkan peluang bermutu ke seluruh pelosok tanah air. Kita tidak mahu pembangunan tertumpu di kawasan bandar tertentu saja. Untuk itu, lima koridor pertumbuhan sudah dilancarkan. Tempoh pembangunan akan mengambil masa antara 20 sehingga 30 tahun, tetapi Insya-Allah, kerajaan akan berusaha untuk memastikan rakyat dapat merasai faedah inisiatif ini secepat mungkin. Kerajaan berhasrat menarik minat pihak swasta, tidak kira pelabur tempatan atau asing, untuk melaburkan dana dalam koridor pertumbuhan. Untuk tujuan ini, pelbagai pakej insentif akan ditawarkan oleh kerajaan. Di samping itu, setiap pihak berkuasa koridor akan memperkenalkan inisiatif khusus untuk mewujudkan lebih ramai usahawan, termasuk usahawan Bumiputera, dalam koridor terbabit. Bagi memastikan pelaksanaan projek dan pemantauan berjalan dengan berkesan, saya sudah mengarahkan supaya setiap pihak berkuasa koridor melaporkan kemajuan pembangunan di kawasan koridor masing-masing secara berkala kepada Jemaah Menteri setiap tiga bulan.

Membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)

Pelaksanaan fasa kedua bagi pembangunan MPPB akan terus diberi penekanan melalui pelaksanaan inisiatif pembangunan kluster yang diterajui sektor swasta. Inisiatif ini dijangka akan dapat meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam 11 sektor ekonomi utama seperti pembinaan, logistik dan pengedaran perdagangan. Bagi memacu pembangunan usahawan Bumiputera, pendekatan seperti pembangunan francais, penyertaan strategik dalam rantaian perniagaan dan penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia akan terus dipergiatkan.

Teras 4: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup

Kerajaan senantiasa menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara perlu disertai dengan peningkatan kualiti hidup untuk seluruh rakyat Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, kerajaan akan menekankan enam strategi utama:

  • Pertama: Meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan;
  • Kedua: Memenuhi keperluan perumahan dan menambah baik perkhidmatan bandar; Ketiga: Membina infrastruktur asas;
  • Keempat: Menambah baik kemudahan pengangkutan;
  • Kelima: Memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber secara mapan; dan
  • Keenam: Menjana pembangunan masyarakat yang positif.

Meningkatkan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan

Penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan peningkatan kualiti penjagaan akan terus diberi perhatian. Antara lain, akses kepada penjagaan kesihatan bagi golongan Orang Asli dan kumpulan minoriti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan. Klinik bergerak termasuk perkhidmatan doktor udara akan ditambah bagi kawasan terpencil. Satu cabaran utama yang mendepani sektor kesihatan adalah kekurangan pekerja dalam sektor kesihatan awam. Untuk itu, pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi bagi kursus kritikal akan dipertingkatkan. Kerajaan juga akan mempertimbangkan pakej faedah yang lebih baik bagi mengekalkan doktor dan pekerja dalam sektor kesihatan awam.

Memenuhi Keperluan Perumahan dan Menambah Baik Perkhidmatan Bandar

Pembangunan perumahan akan menekankan penyediaan rumah yang mencukupi, mampu dibeli atau disewa, dan berkualiti kepada semua rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan menengah. Antara lain, pelaksanaan program perumahan kos rendah akan dipercepatkan dalam tempoh akhir RMK-9 dengan pembinaan tambahan 18,500 unit Rumah Rakyat Disewa. Di samping itu, sebanyak 12,300 unit Rumah Mampu Milik akan dibina menjelang tahun 2010. Di kawasan bandar, kualiti pengurusan sisa pepejal akan ditingkatkan melalui pelaksanaan skim kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal secara lebih cekap dan menjimatkan. Di samping itu, pelbagai inisiatif pengurusan sisa pepejal, termasuk skim pengurangan sisa pepejal dan kitar semula, akan dipertingkatkan pelaksanaannya.

Membina Infrastruktur Asas

Kerajaan tetap komited ke arah memastikan agar setiap rakyat Malaysia menikmati infrastruktur asas yang diperlukan bagi kehidupan seharian, khususnya bekalan air dan tenaga elektrik. Penggunaan teknologi moden seperti penjana kuasa solar, turbin angin dan sistem penuaian hujan akan dipertingkatkan, khususnya bagi kawasan pedalaman. Di kawasan penduduk ramai seperti Lembah Klang, mutu sistem bekalan air dan pembetungan akan dipertingkatkan dengan tertubuhnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menambah Baik Kemudahan Pengangkutan

Peningkatan sistem pengangkutan awam terus menjadi keutamaan kerajaan, terutama berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan gas baru-baru ini. Sehubungan itu, liputan sistem rel transit bandar akan diperluas dan lebih banyak terminal pengangkutan awam bersepadu akan dibina. Di samping itu, kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi akan ditingkatkan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam, khususnya di kawasan Lembah Klang. Bagi memastikan agar pembangunan sektor pengangkutan di masa hadapan berjalan dengan lebih lancar dan tersusun, kerajaan akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan merangka sebuah Pelan Induk Pengangkutan. Bagi memenuhi liputan yang masih tidak mencukupi terutama di Sabah dan Sarawak, rangkaian jalan raya luar bandar akan diperluaskan lagi. Usaha ini dijangka akan dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan pedalaman.

Memastikan Pemuliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Secara Mapan

Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesan proses pembangunan ke atas alam sekitar. Penekanan akan diberikan kepada usaha meningkatkan kualiti udara dan air secara berterusan, di samping mengurangkan pencemaran sumber air dan tanah disebabkan pembuangan haram sisa pepejal serta bahan toksik dan berbahaya. Di samping itu, fenomena perubahan iklim turut diberi perhatian. Tumpuan akan diberi ke arah meningkatkan penggunaan tenaga yang cekap di samping sumber tenaga yang boleh diperbaharui, serta menambah baik sistem pengangkutan awam. Langkah pencegahan seperti program tebatan banjir akan turut dilaksanakan supaya impak daripada fenomena perubahan iklim dapat ditangani dengan berkesan.

Menjana Pembangunan Masyarakat Yang Positif

Penjanaan pembangunan masyarakat yang positif antara lain merangkumi pembangunan keluarga, belia, sukan, kebudayaan, kesenian dan warisan. Bagi memperkukuh institusi kekeluargaan secara menyeluruh, sebuah Dasar Keluarga Negara akan digubal. Usaha itu akan membabitkan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk kaunseling, latihan kemahiran keibubapaan dan perkhidmatan kesihatan reproduktif. Memandangkan golongan belia adalah generasi pemimpin masa depan negara, mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan.

Program pembangunan belia akan bertumpu kepada aspek sosialisasi, kepemimpinan dan pendidikan, dengan pembabitan sektor swasta, NGO dan persatuan belia akan diberi penekanan. Dalam usaha pembangunan sukan, penekanan akan diberikan kepada aspek kehidupan aktif dan sihat, di samping mengasah bakat kesukanan ke arah kecemerlangan sukan. Antara lain, persatuan sukan akan dipertingkatkan keupayaan bagi memastikan pencapaian gemilang dalam arena sukan. Pembangunan bidang kebudayaan, kesenian dan warisan akan bertumpu kepada pembinaan nilai positif serta pemupukan persefahaman dan apresiasi bagi kepelbagaian budaya. Usaha mengasah bakat kesenian akan terus dipertingkatkan melalui program kebudayaan, pameran dan acara yang berkualiti tinggi.

Teras 5: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara

Kerajaan beriltizam untuk terus mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dengan tertubuhnya Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), pelbagai proses dan prosedur kerja serta dasar dan peraturan berjaya dinilai dan diperbaiki. Transformasi penyampaian perkhidmatan akan terus dipergiatkan menerusi tiga strategi utama iaitu:

  • Pertama: Mengintegrasi perkhidmatan merentasi agensi;
  • Kedua: Mewujudkan keyakinan terhadap perkhidmatan berasaskan elektronik; dan
  • Ketiga: Mengamalkan perancangan, pemantauan dan penilaian berasaskan pencapaian.

Mengintegrasi Perkhidmatan Merentasi Agensi

Untuk meningkatkan fokus kepada keperluan pelanggan, perkhidmatan merentasi semua agensi perlu digembleng dan disampaikan secara mesra pengguna. Kemajuan yang menggalakkan sudah dicapai dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan perniagaan, khususnya melalui inisiatif e-Government. Satu contoh penting bagi inisiatif ini adalah projek e-KL, yang menggabungkan kesemua perkhidmatan awam berkaitan dalam kawasan Lembah Klang melalui satu portal Internet.

Bagi memperkemaskan pemantauan dan pengurusan aduan, satu sistem aduan bersepadu untuk seluruh sektor awam dengan konsep “One Number Call Centre, No Wrong Door” akan dibangunkan, membabitkan semua kementerian dan agensi di semua negeri dan pihak berkuasa tempatan. Di samping itu, satu Sistem Daftar Nasional bersepadu akan dibangunkan untuk memudahkan perkongsian data merentasi agensi dan mengurangkan kesilapan data atau pertindihan.

Mewujudkan Keyakinan Terhadap Perkhidmatan Berasaskan Elektronik

Penggunaan komputer dan rangkaian maklumat meningkatkan daya saing dan menambah baik penyampaian perkhidmatan. Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan penggunaan perkhidmatan berasaskan elektronik. Sebagai usaha meningkatkan tahap keyakinan dan kefahaman mengenai keperluan keselamatan siber, khususnya keselamatan data peribadi, program kesedaran dan pembelajaran akan disediakan kepada pengguna perkhidmatan elektronik kerajaan. Sehubungan itu, sebuah Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi kini sedang digubal. Di samping itu, satu garis panduan berkenaan perbankan elektronik akan diperkenalkan bagi mengurangkan risiko dan kelemahan dalam penggunaan perbankan melalui Internet.

Mengamalkan Perancangan, Pemantauan dan Penilaian Berasaskan Pencapaian

Pendekatan 'perancangan, pemantauan dan penilaian projek berasaskan pencapaian' akan diterima pakai bagi memastikan projek yang dilaksanakan mencapai objektif dikehendaki. Fokus akan diberi kepada tiga bidang utama iaitu modal insan, sistem serta struktur organisasi untuk memperkukuhkan kapasiti institusi kementerian dan agensi. Struktur penyampaian projek akan disusun semula dengan mengambil kira elemen perancangan, pemantauan dan penilaian.

Peruntukan pembangunan

Di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-9, siling keseluruhan peruntukan pembangunan bagi RMK-9 dicadang akan ditambah daripada RM200 bilion kepada RM230 bilion. Tambahan ini adalah bagi menampung kenaikan kos pelaksanaan projek sedia ada berikutan kenaikan harga bahan binaan serta keutamaan baru seperti pembangunan wilayah koridor dan pengeluaran makanan yang mencukupi untuk negara.

Di samping itu, program penswastaan dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) akan juga digunakan sebagai pelengkap kepada pelaburan awam bagi menyediakan perkhidmatan awam lebih berkualiti. Kerajaan akan mempertingkatkan disiplin fiskal dengan melaksanakan perolehan kerajaan secara tender untuk memastikan "value for money" di samping mengurangkan ketirisan dan pembaziran, serta menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.

Projek pembangunan RMK-9 adalah dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan ekonomi negara. Suka saya menegaskan di sini bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan RMK-9 di kesemua negeri. Projek mesra rakyat yang bertujuan menyediakan kemudahan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan awam kos rendah, membasmi kemiskinan dan keselamatan awam akan diberi keutamaan.

Kesimpulan

Pelbagai usaha sudah kita laksana dan gembleng bersama bagi memastikan kedudukan asas ekonomi negara terus kukuh serta berdaya saing. Rancangan pembangunan bagi tempoh 2006-2010 sedang kita laksanakan, manakala langkah pembaharuan yang diperlukan kita kenal pasti untuk dilaksanakan dalam tempoh akhir RMK-9. Alhamdulillah, sehingga kini, hasil pembangunan berteraskan Misi Nasional ini berjaya meningkatkan lagi taraf hidup rakyat serta membentuk masyarakat yang lebih terbuka dan berwibawa. Saya percaya kita berada pada landasan betul ke arah mencapai Wawasan 2020.

Namun, harus diakui bahawa dalam menempuh tempoh akhir RMK-9 ini, kita berdepan pelbagai cabaran yang akan menduga keupayaan kita untuk meneruskan agenda pembangunan negara. Cabaran terbesar yang kini menghimpit ekonomi negara tentunya adalah kenaikan harga minyak sedunia. Hakikatnya, kenaikan harga minyak ini adalah satu fenomena global yang melanda semua negara, dan disebabkan pelbagai faktor. Antara sebab utama membawa kepada kenaikan harga minyak yang melampau pada waktu ini adalah keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu. Serangan ke atas Iraq oleh Amerika Syarikat pada 2003 melumpuhkan salah sebuah negara pengeluar minyak utama dunia, dan menimbulkan keadaan kacau bilau di rantau Asia Barat yang masih belum reda.

Serangan ke atas Afghanistan sebelum itu turut membawa impak negatif kepada kestabilan harga minyak di pasaran dunia. Paling mutakhir, ancaman Israel untuk menyerang Iran turut menyumbang kepada ketegangan geopolitik yang membawa kepada kenaikan harga minyak. Permintaan yang tinggi oleh negara tertentu seperti China dan India, di samping keengganan negara OPEC untuk menaikkan tahap pengeluaran minyak secara ketara, juga antara penyebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegiatan spekulator pasaran minyak di pusat kewangan antarabangsa seperti New York dan London, yang turut menambah dan menyulitkan ketidaktentuan dalam suasana harga minyak yang semakin meruncing.

Di samping kenaikan harga minyak yang melampau, ekonomi negara turut dihimpit oleh keadaan pasaran kewangan sedunia yang masih belum pulih daripada krisis 'sub-prima'. Malah ramai pakar ekonomi menjangka krisis ini mampu membawa kepada kemelesetan ekonomi sedunia, yang pastinya akan turut mengheret ekonomi negara Malaysia ke dalam suasana gawat. Hakikatnya, negara kini berdepan pelbagai cabaran yang cukup genting, disebabkan faktor luaran yang berada di luar kawalan kita. Untuk mengekalkan keupayaan negara bagi mendepani cabaran yang saya sebut tadi, maka kerajaan perlu berani membuat keputusan serta cekal melakukan perubahan, demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

Ini termasuk keputusan baru-baru ini untuk menyusun semula subsidi minyak dan gas di dalam negara. Kerajaan amat sedar bahawa langkah itu akan meningkatkan beban sara hidup rakyat. Sungguhpun begitu, kerajaan terpaksa bertindak demikian, memandangkan kenaikan harga minyak di pasaran global menyebabkan keadaan kewangan negara semakin terhimpit.

Di samping itu, langkah berkenaan dirasakan perlu agar subsidi yang dimaksudkan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukannya. Selain itu, langkah itu dapat memberi fleksibiliti kepada kewangan negara dalam berhadapan risiko berlakunya kemelesetan ekonomi sedunia dalam waktu terdekat ini. Dalam suasana kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor luaran, amat sukar bagi sesebuah negara seperti Malaysia untuk melindungi rakyatnya secara sepenuhnya daripada impak negatif yang bersifat global. Sungguhpun begitu, kerajaan terus komited untuk melaksanakan segala yang termampu bagi meringankan beban rakyat dan memelihara kualiti hidup yang baik.

Sesungguhnya, seluruh lapisan rakyat harus tabah dan bersatu hati dalam menggembleng tenaga bagi menangani krisis kenaikan harga minyak dan komoditi ini. Ia adalah kemelut yang bakal memberi impak negatif bukan hanya dalam tempoh akhir RMK-9, malah untuk tahun-tahun seterusnya. Usaha kita harus ditentukan ke arah mendepani cabaran ini dan melakukan penyesuaian; bukannya membenarkan pemimpin dan kumpulan tertentu menangguk di air keruh dan mengapi-apikan sentimen rakyat dengan janji palsu, semata-mata untuk merebut kuasa di luar batasan demokrasi dan memenuhi agenda peribadi.

No comments: