Wednesday 5 August 2009

Perhimpunan Oh Perhimpunan!!


Ekoran insiden memalukan negara hingga melumpuhkan Ibu Kota pada 1 Ogos lalu akibat perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir rakyat hingga sanggup menjadi alat kepada ketaksuban beberapa pemimpin dan individu untuk memenuhi agenda politik mereka.
Walaupun dikatakan bahawa perhimpunan jalanan ini dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tetapi ianya mendapat sokongan sekutu pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS.


Apatah lagi, para pemimpin tertinggi parti-parti terbabit juga turut sama turun padang dalam perhimpunan tersebut. Ini termasuklah munculnya penasihat PKR, Anwar Ibrahim, di samping Lim Kit Siang selain para pemimpin PAS termasuklah Salahudin Ayub dan Mahfuz Omar.
Lantaran itu, muncul persoalan, pemimpin sedemikiankah yang menjadi contoh kepada rakyat sedangkan realitinya mereka merelakan rakyat melanggar undang-undang dan lebih teruk lagi menjadikan rakyat sebagai perisai bagi bertempur dengan pihak polis dan menghuru-harakan kawasan awam serta tempat bersosial masyarakat.

Sememangnya, tidak mudah bagi para pemimpin BN merealisasikan impian untuk kesejahteraan dan keamanan bersama apatah lagi kawasan yang menjadi medan perhimpunan jalanan tersebut adalah tempat dimana pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat menjalankan aktiviti hujung minggu mereka.

Persoalannya, jika benar pemimpin yang ulung dan memahami aspirasi rakyat, pastinya mereka tidak akan sanggup mempergunakan para pengikutnya melakukan pelbagai kerenah kurang wajar dan bersikap ibarat tidak bermoral hinggakan ditahan oleh pihak berkuasa.

Lantas sekiranya kewajaran dijadikan sebagai landasan, bagaimana mungkin mereka sanggup berkerat rotan kerana ISA sedangkan mungkin jika ditanya kepada mereka yang terlibat, perkara berkaitan ISA tersebut tidak mungkin dapat mereka rungkai dengan baik selain daripada istilah kejam setelah dipropagandakan oleh pihak tertentu.
Malah, mengikut laporan, setelah siasatan dijalankan suatu pendedahan diperoleh bahawa sebahagian individu yang terlibat dalam demonstrasi tersebut telah diupah oleh pihak tertentu untuk mengalihkan tumpuan masyarakat terhadap kes mahkamah yang umumnya telah tahu.
Oleh itu, siapakah dalangnya?

Rentetan daripada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu apatah lagi beliau sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan bangsa.

Susulan daripada itu, Anwar telah bertindak menuntut Tan Sri Muhyiddin membayar ganti rugi RM100 juta dan meminta beliau menarik balik dakwaan sebagai pengkhianat bangsa.

Jika difikirkan, jumlah tersebut amat besar tetapi lebih besar lagi kerugian yang dialami ekoran demonstrasi yang menjangkau RM200 juta, di samping beberapa kompleks membeli belah utama juga terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit ekoran terpaksa ditutup dan tempiasnya lebih dirasai oleh golongan peniaga kecil yang menunggu hujung minggu untuk mendapatkan rezeki tambahan.

Persoalan lain, jika benar Anwar mahu menutup malu ekoran tuduhan sedemikian, mengapa Anwar tidak mahu menuntut jumlah yang sedemikian atau lebih banyak lagi terhadap Saiful atas tuduhan salah laku yang didakwa keatasnya di mahkamah? Lantas, siapa sebenarnya pengkhianat bangsa?

Gagento : Kerajaan patut ambil tindakan tegas pada golongan pelampau yang menggugat kestabilan dan keamanan negara pada hari ini. Bawa mereka ke muka pengadilan. Bahkan saranan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak agar 'penyokong-penyokong' yang menyokong dan menyukai idea perhimpunan haram, silakan ke Stadium. Gegarkan stadium seperti konsert Jom Heboh...Jangan la dok heboh di jalanan. Ramai yang rugi. Jangan jadikan rakyat mangsa keadaan dan agenda politik saudara-saudara sekelian. Kata-kata PM ada hikmahnya. Pihak polis, parti-parti yang menyokong kepada agenda perhimpunan haram. Ambil iktibar dan saranan tersebut.

No comments: