Wednesday, 5 August 2009

Perhimpunan Oh Perhimpunan!!


Ekoran insiden memalukan negara hingga melumpuhkan Ibu Kota pada 1 Ogos lalu akibat perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir rakyat hingga sanggup menjadi alat kepada ketaksuban beberapa pemimpin dan individu untuk memenuhi agenda politik mereka.
Walaupun dikatakan bahawa perhimpunan jalanan ini dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tetapi ianya mendapat sokongan sekutu pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS.


Apatah lagi, para pemimpin tertinggi parti-parti terbabit juga turut sama turun padang dalam perhimpunan tersebut. Ini termasuklah munculnya penasihat PKR, Anwar Ibrahim, di samping Lim Kit Siang selain para pemimpin PAS termasuklah Salahudin Ayub dan Mahfuz Omar.
Lantaran itu, muncul persoalan, pemimpin sedemikiankah yang menjadi contoh kepada rakyat sedangkan realitinya mereka merelakan rakyat melanggar undang-undang dan lebih teruk lagi menjadikan rakyat sebagai perisai bagi bertempur dengan pihak polis dan menghuru-harakan kawasan awam serta tempat bersosial masyarakat.

Sememangnya, tidak mudah bagi para pemimpin BN merealisasikan impian untuk kesejahteraan dan keamanan bersama apatah lagi kawasan yang menjadi medan perhimpunan jalanan tersebut adalah tempat dimana pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat menjalankan aktiviti hujung minggu mereka.

Persoalannya, jika benar pemimpin yang ulung dan memahami aspirasi rakyat, pastinya mereka tidak akan sanggup mempergunakan para pengikutnya melakukan pelbagai kerenah kurang wajar dan bersikap ibarat tidak bermoral hinggakan ditahan oleh pihak berkuasa.

Lantas sekiranya kewajaran dijadikan sebagai landasan, bagaimana mungkin mereka sanggup berkerat rotan kerana ISA sedangkan mungkin jika ditanya kepada mereka yang terlibat, perkara berkaitan ISA tersebut tidak mungkin dapat mereka rungkai dengan baik selain daripada istilah kejam setelah dipropagandakan oleh pihak tertentu.
Malah, mengikut laporan, setelah siasatan dijalankan suatu pendedahan diperoleh bahawa sebahagian individu yang terlibat dalam demonstrasi tersebut telah diupah oleh pihak tertentu untuk mengalihkan tumpuan masyarakat terhadap kes mahkamah yang umumnya telah tahu.
Oleh itu, siapakah dalangnya?

Rentetan daripada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyifatkan Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat besar terhadap perjuangan orang Melayu apatah lagi beliau sanggup memutarbelitkan fakta mengenai usaha UMNO untuk memartabatkan bangsa.

Susulan daripada itu, Anwar telah bertindak menuntut Tan Sri Muhyiddin membayar ganti rugi RM100 juta dan meminta beliau menarik balik dakwaan sebagai pengkhianat bangsa.

Jika difikirkan, jumlah tersebut amat besar tetapi lebih besar lagi kerugian yang dialami ekoran demonstrasi yang menjangkau RM200 juta, di samping beberapa kompleks membeli belah utama juga terpaksa menanggung kerugian ratusan ribu ringgit ekoran terpaksa ditutup dan tempiasnya lebih dirasai oleh golongan peniaga kecil yang menunggu hujung minggu untuk mendapatkan rezeki tambahan.

Persoalan lain, jika benar Anwar mahu menutup malu ekoran tuduhan sedemikian, mengapa Anwar tidak mahu menuntut jumlah yang sedemikian atau lebih banyak lagi terhadap Saiful atas tuduhan salah laku yang didakwa keatasnya di mahkamah? Lantas, siapa sebenarnya pengkhianat bangsa?

Gagento : Kerajaan patut ambil tindakan tegas pada golongan pelampau yang menggugat kestabilan dan keamanan negara pada hari ini. Bawa mereka ke muka pengadilan. Bahkan saranan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak agar 'penyokong-penyokong' yang menyokong dan menyukai idea perhimpunan haram, silakan ke Stadium. Gegarkan stadium seperti konsert Jom Heboh...Jangan la dok heboh di jalanan. Ramai yang rugi. Jangan jadikan rakyat mangsa keadaan dan agenda politik saudara-saudara sekelian. Kata-kata PM ada hikmahnya. Pihak polis, parti-parti yang menyokong kepada agenda perhimpunan haram. Ambil iktibar dan saranan tersebut.

Rosmah lancar laman web peribadi dengan 13 bahasa

Wanita pertama negara, Datin Sri Rosmah Mansor melancarkan laman web peribadinya di alamat Pejabat Perdana Menteri (PMO), dipercayai antaranya untuk menangkis paparan negatif terhadapnya di internet.

Laman webnya di www.pmo.gov.my/datinrosmah memuatkan biodata beliau, berita dan aktiviti bergambar, koleksi teks ucapan, diari, keratan akhbar dan galeri video. Melalui lama web ini, para pengunjung boleh mengakses beberapa laman web lain pembabitan sosialnya seperti Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), Permata Negara, Permata Pintar, Yayasan Pembangunan Anak-anak Yatim dan Miskin (Pemangkin), Yayasan Aids Kebangsaan dan Universiti Industri Selangor (Unisel).

Dengan laman web Rosmah ini, kali pertama isteri seseorang perdana menteri Malaysia mempunyai seksyen rasmi di laman web Pejabat Perdana Menteri. Selain dalam bahasa Malaysia dan Inggeris, laman web itu boleh juga dicapai dalam 11 bahasa utama dunia menggunakan perisian penterjemah automatik di internet. Laman web itu menurut sumber dibangunkan oleh Bahagian Sistem Maklumat Pengurusan Ketua Eksekutif (SMPKE) PMO juga akan ditambah dari semasa ke semasa, seperti aplikasi interaktif dan maklumbalas, sekiranya terdapat permintaan.

Rosmah ketika merasmikan laman web tersebut menyeru pengguna internet supaya bijak menapis maklumat dan tidak mudah terpengaruh dengan mesej berbau fitnah dan hasutan. Tambahnya, trend masa kini menunjukkan kemajuan teknologi maklumat digunakan untuk menyebarkan fitnah dan dakyah.

"Kemajuan teknologi maklumat seharusnya digunakan dengan sebaik mungkin dan secara bijak untuk dimanfaatkan".

Awal Jun lalu, Rosmah menjadi sasaran kempen memburuk-burukkan beliau melalui beberapa klip video dengan menggelarkan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai "perempuan puaka" dengan tuduhan-tuduhan berat. Sebelum itu juga, banyak foto beliau termasuk kelihatan bercium pipi dengan bintang filem tersohor Shah Rukh Khan turut disebarkan secara meluas di internet, selain akuan bersumpah dan artikel karya Raja Petra Kamaruddin yang mengaitkan beliau dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Rosmah sebelum ini telah menafikan pembabitannya dengan kes wanita Mongolia itu.

Gagento : Apapun dunia IT dan teknologi terkini sememangnya hanya berada di hujung jari anda. Menerokai alam maya dunia tanpa sempadan hanya di ibaratkan :
"Rambut hitam kini putih menabur"
"Urat otot dah mula nak kendur"
"Gigi yang kuat da mula nak bertabur"
"Alamat diri da sampai nak ke kubor"

Maka pikir-pikirkan adanya hidup dan mati, syurga dan neraka. Beramallah ke jalan kebaikan..

Zahid : Mustahil mansuhkan ISA

Mustahil untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi ia boleh dipinda atau ditukar namanya supaya lebih bersesuaian dengan keadaan semasa, kata Menteri Pertahanan.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata negara memerlukan undang-undang seperti ISA yang boleh menahan seseorang itu untuk disoal siasat sebelum sesuatu perkara atau kes itu dibawa ke mahkamah, selain turut memerlukan undang-undang lain.
"Pada hemat saya, kita jangan lihat dalam negara kita sahaja. Lihat di negara jiran kita atau di negara-negara lain. "Mereka pun mempunyai undang-undang yang lebih kurang sama atau yang lebih keras daripada itu."Maka ia (ISA) adalah bertujuan untuk mewujudkan kestabilan ekonomi dan politik supaya tidak menimbulkan permasalahan agama, kaum dan budaya dan inilah yang mahu ditekankan oleh pihak kerajaan," katanya selepas merasmikan kursus pidato politik anjuran Umno Cheras.

Ahmad Zahid menambah, pihak berkenaan tidak perlu takut dengan kewujudan ISA jika mereka tidak melakukan kesalahan."Saya bercakap atas pengalaman pada tahun 1998. Saya rasakan walaupun masa itu saya ditahan (di bawah ISA), saya reda dengan keadaan itu."Apabila saya ditanya dan disoal siasat, saya berpendapat polis telah menjalankan kerja secara profesional," kata Ahmad Zahid.

Gagento : Negara perlukan undang-undang lebih kukuh bagi menangani samseng-samseng jalanan ini. Pada hemat Gagento, pihak-pihak tertentu sengaja mengadakan perkara ini bagi mengalih isu-isu utama di mahkamah dan sebagainya.